KUMAAHRAN beraksi bersama Melaka United pada musim lalu. FOTO MFL
KUMAAHRAN beraksi bersama Melaka United pada musim lalu. FOTO MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang baharu PJ City FC, S Kumaahran tiada masalah untuk bergandingan dengan Darren Lok bagi memperkuatkan lagi bahagian serangan pada musim ini.

Memandangkan Kumaahran dan Darren pernah bekerjasama ketika bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2018, dia percaya keserasian antara mereka masih lagi ada untuk mengukuhkan lagi serangan PJ City di pentas Liga Super.

Seperti mana yang ditekankan oleh pengendali, P Maniam, kehadiran Kumaahran pada musim ini sememangnya untuk membantu Darren yang sebelum ini sering kali dihimpit kecederaan selain penyerang lain seperti Mahalli Jasuli, Khyril Muhymeen dan Sunil Chandran.

"Saya pernah bermain dengan Darren ketika dengan JDT II, jadi persefahaman dan keserasian dalam padang itu saya percaya masih ada.

"Yang penting saya kena dapatkan tempat dahulu untuk bermain dan kalau bergandingan dengan Darren, saya akan menggunakan peluang sebaik mungkin bagi bantu pasukan capai sasaran kedudukan lima terbaik.

"Musim lepas mungkin sasaran mereka tidak tercapai apabila berada di tangga ketujuh, jadi tahun ini dengan kehadiran beberapa lagi pemain baharu, kami semua akan cuba membantu pasukan sebaik mungkin untuk raih sasaran itu," katanya.

Kumaahran yang berjaya menjaringkan enam gol ketika bersama Melaka United FC pada musim lalu menyasarkan untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya 10 gol bersama PJ City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:43 PM