MOHAMAD Ishak miliki  Kejurulatihan Lesen A serta Diploma AFC Pro.
MOHAMAD Ishak miliki Kejurulatihan Lesen A serta Diploma AFC Pro.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Biarpun tidak lagi bergelar ketua jurulatih, bekas pengendali pasukan PDRM FC musim lalu, Mohamad Ishak Kunju Mohamad tetap berbangga selepas dilamar menjadi pembantu ketua jurulatih skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim ini.

Malah pengendali berusia 49 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menganggap skuad anggota keselamatan itu tiada kelas, sebaliknya tetap melabel pasukan itu mempunyai kelebihan tersendiri walaupun bakal beraksi dalam Liga M3 atau divisyen tiga.

Bekas pemain pertahanan Terengganu itu yang mempunyai kelayakan tertinggi iaitu Sijil Kejurulatihan Lesen A serta Diploma AFC Pro yang menjadi syarat wajib kepada jurulatih yang membimbing pasukan Liga Super berbanding hanya Lesen A dalam saingan Liga Perdana sebelum ini berhasrat berkelana ke luar negara selepas lambakan jurulatih asing mewarnai pentas Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun beliau mengubah fikiran selepas dilantik menjadi anggota keluarga ATM membantu ketua jurulatih kelahiran England berusia 47 tahun, Kevin Lee Cooper.

"Sebelum ini saya sudah menghantar permohonan ke beberapa kelab luar negara termasuk kelab di Bangladesh, namun tawaran daripada pasukan ATM saya sambut dengan penuh gembira kerana impian saya sudah tentu mahu membimbing anak tempatan.

"Saya tidak malu sebaliknya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan ATM yang menawarkan jawatan itu yang saya sifatkan masih memberi kepercayaan kepada anak tempatan biarpun sebagai pembantu ketua jurulatih," katanya.

Ishak yang pernah membimbing pasukan Piala Presiden Kuala Lumpur, PDRM dan kelab Marcerra United tekad untuk membalas kepercayaan itu untuk membawa ATM ke kancah Liga Perdana musim depan.

"Saya meletakkan harapan tinggi untuk membantu pasukan ATM ini menjulang kejuaraan dalam saingan Liga M3 dan seterusnya layak beraksi dalam saingan Liga Perdana 2022.

"Lagipun skuad ATM ini bukan calang-calang pasukan kerana musim lalu menduduki tempat ketiga Liga M3 selain pernah membuat kejutan dalam saingan Piala Malaysia," katanya.

Berdasarkan rekod, skuad ATM berjaya menjuarai Liga Perdana pada 2012 sebelum merangkul naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Skuad The Gladiators itu juga muncul juara Piala Sumbangsih pada 2013 di bawah kendalian B Sathianathan selepas menumpaskan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas kedudukan sebenar terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:16 PM