Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Pencapaian jurulatih dari luar negara ketika membimbing Negeri Sembilan sebelum ini boleh dianggap buruk dan tidak sesuai andai Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mahu mendapatkan khidmat jurulath terbabit,” kata Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com), Mohamad Faidzul Mohd Noh.

Menurutnya, kelab itu tidak bersetuju andai PBNS berhasrat mendapatkan khidmat jurulatih asing membimbing skuad Negeri Sembilan (NS) Matrix menghadapi Liga M musim depan.

Katanya, alasan itu diberikan kerana rekod menunjukkan NS Matrix gagal mencapai kejayaan sepertimana diharapkan ketika dibimbing jurulatih luar negara.

“Sebelum ini NS pernah dibimbing tiga jurulatih asing iaitu Hatem Soussi dari Tunisia pada musim 2006-2007 diikuti Divaldo Alves dari Portugal (2012-2013) dan kemudian V Sundramoorthy dari Singapura musim lalu.

“Jika melihat kepada rekod pencapaian jurulatih asing itu, tiada yang berjaya membawa kejayaan kepada pasukan.

“Ini menunjukkan pencapaian jurulatih luar negara boleh dianggap buruk, justeru itu PBNS diharap dapat membuat penilaian terbaik,” katanya semalam.

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menjelaskan bahawa PBNS akan melakukan tindakan drastik dengan membuat rombakan besar-besaran terhadap pasukan NS Matrix susulan kegagalan pasukan itu dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Ia termasuk menyingkirkan ketua jurulatih K Devan dan sebahagian besar pemain skuad itu selepas gagal apabila sekadar meletakkan pasukan di tangga keenam carta Liga Perdana selain tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Mohamad Faidzul berkata, pihaknya mencadangkan pemilihan jurulatih tempatan berwibawa dan antara yang dicadangkan bekas pengendali Kuantan FA, Aminuddin Hussin dan Raja Isa Raja Akram Shah yang kini membimbing kelab di Indonesia selain bekas pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Satianathan.

“Itu adalah antara beberapa nama jurulatih tempatan yang difikirkan sesuai berdasarkan pengalaman serta kewibawaan mereka ketika mengendalikan beberapa pasukan lain sebelum ini.

“Bagaimanapun PBNS boleh meneliti jurulatih tempatan lain mereka namun hakikatnya kita (kelab penyokong) menolak bulat-bulat andai pengurusan pasukan mahu mendapatkan jurulatih asing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap PBNS dapat memberikan tempoh sesuai kepada pengendali baru itu nanti membentuk pasukan termasuk memilih pemain terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:29 AM