AKSI tangkas Marchesin (kanan)  menyelamatkan gawang Porto. FOTO AFP
AKSI tangkas Marchesin (kanan) menyelamatkan gawang Porto. FOTO AFP
AFP

Porto: Porto layak ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dan Manchester City mengesahkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan C selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Estadio do Dragao.

Skuad Sergio Conceicao lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan tetapi beberapa aksi hebat penjaga gol tuan rumah, Agustin Marchesin memastikan mereka meraih satu mata untuk mara.

City menguasai perlawanan tetapi jaringan minit akhir Gabriel Jesus dinafikan VAR.

Pelawat yang terlebih dahulu mara ke saingan kalah mati selepas menang empat perlawanan kini berpeluang merehatkan tonggak mereka pada aksi terakhir menentang Marseille minggu depan.

Pengendali City, Pep Guardiola kerap menegaskan City akan berjaya dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini dengan misi menebus kekecewaan selepas tewas kepada Lyon pada aksi suku akhir musim lalu.

City tidak pernah menjuarai kejohanan itu dan Guardiola yang kali terakhir menjulang trofi bersama Barcelona pada 2011 gagal membawa mereka melepasi peringkat suku akhir.

Menduduki tempat teratas kumpulan adalah langkah pertama mencapai sasaran dan Guardiola teruja dengan pertahanan City yang semakin baik.

Mereka hanya melepaskan enam gol dalam 13 aksi terakhir semua kejohanan termasuk empat perlawanan Liga Juara-Juara tanpa dibolosi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 8:57 AM