BEKAS pemain Nigeria John Obi Mikel menayangkan kertas tertera  Real Madrid ketika sesi undian di Nyon hari ini.
BEKAS pemain Nigeria John Obi Mikel menayangkan kertas tertera Real Madrid ketika sesi undian di Nyon hari ini.
AFP

Paris: Juara bertahan Manchester City akan menentang juara 14 kali Real Madrid dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas sesi undian hari ini sekali gus pertembungan kali ketiga berturut-turut kedua-dua pasukan di kejohanan itu.

Arsenal akan berdepan Bayern Munich manakala Paris Saint-Germain menentang Barcelona dan Atletico Madrid membuat perhitungan dengan Borussia Dortmund dalam perlawanan lain.

Skuad Pep Guardiola City akan berkunjung ke ibu kota Sepanyol untuk aksi pertama pada 9 atau 10 April dengan aksi kedua di Manchester seminggu selepas itu.

City menewaskan Madrid pada separuh akhir musim lalu sebelum bergelar pemenang Liga Juara-Juara kali pertama. Mereka seri 1-1 di Santiago Bernabeu namun menang besar 4-0 di tempat sendiri pada aksi kedua.

Real muncul pemenang ketika kedua-dua pasukan bertemu pada peringkat empat terakhir setahun sebelum itu sebelum menewaskan Liverpool pada final.

Gergasi Sepanyol itu juga menang aksi separuh akhir kedua-dua pasukan pada 2016 manakala City menang pada saingan 16 terakhir pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 9:53 PM