VILLAS  Boas waspada ancaman City. FOTO AFP
VILLAS Boas waspada ancaman City. FOTO AFP

Marseille: Jurulatih Marseille, Andre Villas Boas menganggap Manchester City adalah 'mesin' yang sedia menjulang Liga Juara-Juara menjelang aksi kedua-dua pasukan dalam saingan peringkat kumpulan.

City tidak pernah mara ke final Liga Juara-Juara malah empat kali gagal dalam percubaan layak ke separuh akhir di bawah kendalian Pep Guardiola.

"(City) adalah mesin yang sedia menjuarai Liga Juara-Juara,'' kata Villas-Boas. "Mereka mungkin tidak berada pada tahap terbaik dan ia diakui jurulatih mereka.

"Itu sebabnya mengapa saya berkata demikian tetapi tahap mereka tetap tinggi di atas kami dan kekal pasukan pilihan dalam aksi esok (awal pagi Rabu).

City yang menyerahkan gelaran Liga Perdana kepada Liverpool musim lalu hanya menang dua kali dalam lima aksi liga musim ini.

Marseille, kelab tunggal Perancis yang menjuarai Piala Eropah tampil kali pertama dalam Liga Juara-Juara sejak musim 2013-14 apabila mereka tersingkir pada peringkat kumpulan.

Mereka tewas aksi pembukaan Kumpulan C kepada Olympiakos minggu lalu tetapi mencipta permulaan baik dalam Ligue 1 dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang Paris Saint-Germain dan Lille.

City pula bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Porto 3-1 di Manchester tetapi Guardiola mungkin membuat satu pertukaran dengan Kevin De Bruyne kembali cergas dan Sergio Aguero bergelut dengan kecederaan otot.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:51 PM