SALAH perkasa cabaran Liverpool lawan Atalanta. FOTO AFP
SALAH perkasa cabaran Liverpool lawan Atalanta. FOTO AFP
Agensi

London: Mohamed Salah menegaskan dia tidak ambil peduli komen pengkritiknya dan percaya Diogo Jota menjadikan tugas lebih mudah di bahagian jentera serangan Liverpool.

Salah dijangka tersenarai dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta di Anfield pada Khamis ini selepas tersisih melayan kunjungan Leicester City akibat positif Covid-19.

Bintang Mesir itu berharap dapat meneruskan sentuhan berbisa selepas meledak 10 gol dalam 13 perlawanan - permulaan terbaiknya di Liverpool.

Lapan daripadanya dalam aksi Liga Perdana dengan Salah kini calon awal memburu Kasut Emas yang dimenanginya pada 2018 dan berkongsi anugerah 12 bulan kemudian.

Ketika ditanya mengenai harapan mencipta hatrik peribadi, penyerang Reds itu menghantar mesej kepada pengkritiknya.

"Saya fikir ia sukar melakukannya pertama kali tetapi lebih sukar buat kali kedua dan jauh lebih sukar melakukannya untuk kali ketiga," kata Salah.

"Ada orang suka komplen dan ada yang selalu komplen. Mereka akan berkata 'dia bagus dalam satu aspek tetapi tidak dalam aspek lain.'

"Anda hanya perlu bekerja seperti biasa dan melakukan tugas anda dan saya bangga melakukannya.

"Jaringan, bantuan gol...saya berasa bagus dan manakala ia agak sukar, itu sudah tugas kami dan kami perlu keluar ke sana dan pamer aksi terbaik.

"Adalah penting menang anugerah individu tetapi saya selalu tegaskan Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan trofi berpasukan tetap nombor satu.

"Misi saya ialah menang kedua-duanya. Kami menang Liga Juara-Juara bersendirian dan kemudian Liga Perdana musim lalu. Cita-cita saya ialah menang kedua-duanya (dalam musim yang sama).''

Ketika ketiadaan Salah, Diogo Jota beraksi di sayap kanan ketika menentang Leicester dan meledak gol kedua buat skuad Jurgen Klopp.

Pemain Portugal itu kini menjaringkan lapan gol dalam 12 penampilan sejak berpindah dari Wolverhampton Wanderers dan Salah percaya 'budak baru itu' membantu mengurangkan beban dirinya dan rakan penyerang Sadio Mane serta Roberto Firmino.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 11:28 PM