SALAH penjaring terbanyak Liverpool tiga musim berturut-turut. FOTO AFP
SALAH penjaring terbanyak Liverpool tiga musim berturut-turut. FOTO AFP
Agensi

London: Mohamed Salah bukanlah aset paling berharga buat Liverpool dan boleh dijual jika mendapat harga yang sesuai.

Itu pandangan bekas penjaga gol Reds, David James yang mencadangkan Liverpool beraksi lebih baik sebagai satu pasukan tanpa bintang Mesir itu.

Salah tersisih ketika Liverpool menewaskan Leicester 3-0 dengan penggantinya Diogo Jota menjaringkan gol kali keempat berturut-turut di tempat sendiri.

Sebelum ini heboh diperkatakan Liverpool akhirnya akan memisahkan trio serangan mereka dan James berasakan pemergian Salah paling sesuai ketika ini.

Ketika ditanya sama ada Real Madrid destinasi terbaik untuk Salah, James berkata: ''Jika kena dengan harganya, mana-mana pemain pun akan dijual. Ia bergantung kepada harga.

''Jika Salah ke Man City, saya tak fikir ia bagus untuk Liverpool. Jika dia ke liga lain dan negara berbeza, ia lebih sesuai.

''Saya tak fikir Liverpool terlalu bergantung kepada Salah dan ia bagus buat Jurgen Klopp."

Tetapi pada masa sama James akui sumbangan Salah amat besar kepada Liverpool. Dia pemain keempat paling pantas dalam sejarah Liga Perdana yang menjaringkan 50 gol selain muncul penjaring terbanyak Liverpool pada tiga musim terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 11:31 PM