POSTPARTUM blues membabitkan ibu selepas bersalin.
POSTPARTUM blues membabitkan ibu selepas bersalin.
Nurul Husna Mahmud


TIADA kisah yang lebih menyayat hati apabila mendengar berita seorang ibu tergamak mencederakan bayinya.

Biasanya kepercayaan orang dahulu, keadaan ibu yang hilang kawalan sehingga sanggup mencederakan bayi atau anaknya dikaitkan dengan penyakit 'meroyan'.

Meroyan adalah istilah biasa merujuk keadaan mental ibu yang negatif seperti mengalami kemurungan, keresahan, tidak dapat tidur dengan secukupnya dan perubahan fizikal ke arah perlakuan negatif termasuk keupayaan untuk menjaga anak.

Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) yang juga Pengarah Hospital Umra Shah Alam, Datin Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim, 'spektrum' meroyan yang lebih meluas (merangkumi kemurungan, keresahan sehingga kepada gejala psikosis) mendorong perubahan tingkah laku negatif ibu yang menghadapinya.

"Spektrum meroyan bukan terhad kepada kemurungan, tetapi merangkumi beberapa perkara antaranya keresahan dan kadangkala ibu itu mengalami gejala psikosis.

"Segelintir ibu yang mengalami meroyan mula menunjukkan kelakuan psikotik. Paling ketara apabila ibu mula mendapat halusinasi.

"Selain halusinasi, wanita ini mempunyai khayalan dan tanggapan yang tidak betul dikaitkan dengan gejala delusi," katanya.

Pakar itu menjelaskan keadaan halusinasi seperti pesakit itu berasa ada orang ingin mencederakan atau melakukan khianat terhadapnya.

PSIKOTIK gejala memerlukan bantuan ubat.
PSIKOTIK gejala memerlukan bantuan ubat.

Delusi pula merujuk kepercayaan palsu yang diyakini sepenuhnya oleh penghidap penyakit walaupun ada fakta yang membuktikan sebaliknya.

"Delusi di tahap yang lebih serius ialah tanggapan seperti 'dirinya bukan seorang isteri yang bagus,' 'bukan ibu yang baik,' dan 'lebih baik saya mati.'

"Kepercayaan yang salah inilah mendorong ibu mampu cederakan diri sendiri atau orang sekeliling termasuk anak sendiri," katanya.

Menjelaskan meroyan mengikut istilah perubatan pula, kata Dr Ummul Wahiy, ia dipanggil 'postpartum depression atau postpartum blues'.

"Konotasi yang lebih lembut jika melihat meroyan kepada istilah perubatan dipanggil 'postpartum blues' yang bermaksud kemurungan dan keresahan dialami ibu selepas bersalin.

"'Postpartum blues' perlu dianggap sebagai satu masalah mental yang perlu ditangani serius kerana implikasi meroyan itu sendiri 'berat.'

"Sikap sebahagian masyarakat memandang serong terhadap perlakuan ibu meroyan perlu ditepis.

SOKONGAN pasangan penting memastikan ibu stabil.
SOKONGAN pasangan penting memastikan ibu stabil.

"Realitinya tiada siapa yang mahu menghidapi penyakit mental dan masyarakat perlu empati dengan ibu yang menghidapi postpartum blues ini," katanya.

Kata Dr Ummul Wahiy lagi, masalah meroyan atau postpartum blues bukan hanya berlaku di Malaysia, ia juga turut dialami ibu selepas bersalin di negara empat musim.

"Kalau membabitkan di negara empat musim, kadar meroyan atau 'postpartum depression' dan 'postpartum blues' meningkat pada musim sejuk.

"Pendedahan kepada cahaya matahari yang tidak mencukupi boleh menyebabkan kemurungan secara umum lebih-lebih lagi kepada wanita yang baru melahirkan anak.

"Di Malaysia tidak bermusim, kecuali masalah lain berkait dengan kesusahan menguruskan rumah tangga. Contoh paling mudah ketika ibu terbabit dalam tempoh berpantang, dia masih perlu kendali anak yang lain dan masih kecil.

"Kesusahan itu boleh mencetuskan tekanan kepada ibu yang menjadi punca meroyan atau kemurungan selepas bersalin," katanya.

Kata pakar itu lagi, kemungkinan lain menjadi punca ibu selepas bersalin mengalami kemurungan ialah ibu itu sendiri ada sejarah ahli keluarga mempunyai penyakit mental.

KAUNSELING antara terapi membantu ibu tangani meroyan.
KAUNSELING antara terapi membantu ibu tangani meroyan.

Tanpa sokongan sosial daripada suami dan ahli keluarga selain tekanan hidup seperti tahap kewangan serta masalah keluarga juga boleh menyumbang ibu mengalami masalah 'postpartum blues' dan 'postpartum dipression'.

"Rawatan sebenar untuk kes kemurungan selepas bersalin bergantung kepada punca atau gejala dialami ibu terbabit.

"Sekiranya ibu itu mempunyai psikosis, dia memerlukan ubat-ubatan anti psikotik. Jika gejala ibu itu mempunyai kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri atau anak, rawatan diperlukan ialah pemantauan sementara di wad psikiatrik.

"Ini membolehkan pakar berkaitan terutama psikiatrik mengkaji gejala dan tahap serius kemurungan ibu itu secara terperinci agar rawatan sewajarnya dapat diberikan," katanya.

Rawatan mungkin dimulakan pakar psikiatrik termasuk kaunseling, terapi sokongan untuk menangani kemurungan membabit individu termasuklah suami dan ahli keluarga lain.

Pembabitan ahli keluarga lain sangat penting dalam membantu ibu menghadapi 'pospartum blues' atau 'postpartum depression' dan mencegah insiden yang buruk akibat penyakit terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:20 AM