LALAT memindahkan kuman ke makanan dan menyebabkan tercemar. - FOTO Arkib NSTP
LALAT memindahkan kuman ke makanan dan menyebabkan tercemar. - FOTO Arkib NSTP
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Tidak ramai yang sedar bahaya dibawa lalat. Dari aspek kesihatan, lalat dikenali sebagai vektor atau pembawa penyakit kerana berpotensi membawa kuman seperti virus, bakteria dan parasit.

Antara penyakit bawaan lalat yang utama kepada manusia adalah seperti kolera, demam kepialu (tifoid) dan jangkitan cacing seperti cacing gelang, cacing cambuk serta cacing pita.

Ketua Jabatan Parasitologi dan Entomologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Syamsa Rizal Abdullah berkata, gejala awal adalah seperti sakit perut, muntah, cirit-birit dan najis berdarah yang boleh membawa kepada komplikasi lebih serius seperti kekurangan zat, anaemia (kekurangan darah merah) serta tumbesaran terbantut terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, amat penting untuk kita sedar dan berusaha melindungi diri serta keluarga daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

"Lalat adalah serangga kecil yang mempunyai sayap dan mampu terbang dengan pantas. Ia sangat sensitif kepada pergerakan dan amat sukar ditangkap tanpa menggunakan alatan khas.

"Serangga ini mempunyai deria hidu yang tajam dan mampu bertelur dalam jumlah banyak. Kitar hidupnya pendek iaitu kira-kira 20 hingga 30 hari dengan empat peringkat perkembangan bermula daripada telur, berengga, pupa dan lalat dewasa.

"Ada puluhan ribu spesies lalat di dunia, tetapi hanya sebahagian kecil yang berbahaya kepada manusia," katanya.

Jelasnya, spesies yang biasa dijumpai di kawasan kediaman manusia adalah lalat rumah atau nama saintifiknya 'musca domestica.'

Katanya, ia mempunyai mata berwarna merah dan badan berwarna kelabu. Ada empat jalur hitam pada bahagian atas dadanya yang memudahkan pengenal pastian spesies.

Dr Syamsa Rizal berkata, lalat adalah serangga berbahaya kerana ia suka hinggap, membiak di tempat kotor dan busuk seperti longkang tersumbat, timbunan sampah, najis serta bangkai haiwan.

"Akibatnya, kuman seperti virus, bakteria atau parasit yang berada pada najis atau tempat kotor ini akan menempel di kaki atau bulu-bulu halus badan lalat.

"Apabila hinggap pada makanan yang terdedah, kuman ini dipindahkan ke makanan berkenaan dan menyebabkannya tercemar.

"Selepas individu termakan makanan tercemar kuman, maka kuman masuk dalam sistem penghadaman. Kuman yang berkembang dalam badan menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit perut, muntah, demam, cirit-birit dan najis berdarah.

"Masalah kesihatan lain yang boleh berlaku terutama kepada kanak-kanak adalah seperti kekurangan zat, anaemia (kekurangan darah merah) dan tumbesaran terbantut," katanya.

Dia yang juga pensyarah Fakulti Perubatan UKM berkata, prihatin terhadap persekitaran dalam dan luar rumah adalah kunci utama untuk mencegah diri serta keluarga daripada dijangkiti penyakit bawaan lalat.

TUTUP makanan dengan tudung saji. - FOTO Arkib NSTP
TUTUP makanan dengan tudung saji. - FOTO Arkib NSTP

Dalam pada itu, Dr Syamsa Rizal berkongsi langkah mudah yang boleh diikuti bagi menghindari penyakit bawaan lalat.

  • Buang makanan sekiranya ada telur lalat. Kehadiran telur lalat menunjukkan lalat sudah hinggap pada makanan.
  • Tutup makanan menggunakan tudung saji. Bau makanan yang kuat boleh menarik lalat masuk dalam rumah.
  • Jangan biarkan sisa makanan ditinggalkan pada pinggan atau dalam singki.
  • Pastikan sisa makanan dan sampah dibuang dalam tong sampah yang bertutup rapi.
  • Elakkan makan di restoran tidak bersih dan menyajikan makanan terdedah.
  • Gunakan pelindung jaring pada tingkap untuk mengelakkan kemasukan lalat.
  • Boleh menggunakan perangkap lalat atau alat pembunuh lalat elektrik untuk mengurangkan jumlah lalat di rumah.
  • Bersihkan najis haiwan peliharaan dengan segera. Pastikan kawasan keliling rumah bersih daripada kotoran yang menjadi tempat pembiakan lalat.
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 7:35 AM