KECACATAN pada telinga.
KECACATAN pada telinga.
PEMBEDAHAN kecil membuang cyst atau kantung untuk mengelak masalah pada sinus berulang.
PEMBEDAHAN kecil membuang cyst atau kantung untuk mengelak masalah pada sinus berulang.
Nurul Husna Mahmud


PERNAHKAH anda melihat ada seperti lubang kecil pada telinga anak atau pasangan anda?

Sekilas pandang, mungkin ada yang tidak perasan, tetapi jika diteliti lubang itu seakan-akan kesan 'ditindik' pada bahagian depan cuping telinga.

Lubang itu sebenarnya merujuk kepada bukaan kecil depan telinga atau istilah perubatannya sinus preauricular.

Mungkin kedengaran masalah ini 'janggal' bagi sesetengah orang, tetapi sinus preauricular bukan kes asing yang dirujuk pada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT).

Malah, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Klinik ENT Dr Ezairy Bandar Dato' Onn Johor Bharu, Dr Ezairy M Sallih berkata, isu telinga bengkak yang dirujuk antaranya berpunca daripada mereka yang memiliki sinus preauricular.

"Sinus Preauricular kecacatan kongenital biasa yang pertama kali dikenal pasti pada 1864. Biasanya berlaku di kawasan depan telinga.

"Lazimnya masalah telinga ini dikenal pasti ketika pemeriksaan fizikal rutin. Kebanyakan yang mempunyai sinus preauricular tiada apa-apa gejala atau masalah. Justeru, tiada keperluan menjalani rawatan," katanya.

Tetapi, dalam kes tertentu membabitkan masalah telinga bengkak, kata pakar itu, pesakit sinus preauricular antara pesakit yang perlu menjalani rawatan.

NANAH meleleh ke sinus (bukaan) pada telinga menunjukkan jangkitan.
NANAH meleleh ke sinus (bukaan) pada telinga menunjukkan jangkitan.

"Ketika pemeriksaan rutin atau pesakit sinus preauricular mengetahui pembentukan 'cyst' atau kantung yang boleh menjadi bengkak di hadapan telinga.

"Saya perasan kes seperti ini antara kerap ditemui dan ia bukan jarang sangat untuk dikesan di klinik ENT.

"Pesakit ini akan mengalami keradangan pada muka atau bisul di hadapan telinga disebabkan jangkitan kuman sudah menjangkiti 'lubang' telinga terbabit," katanya.

Pesakit akan berasa sakit, lelehan nanah mula melalui sinus (bukaan), bengkak di sekitar sinus, kulit berdekatan telinga dan di sekitar sinus menjadi kemerahan dan akhirnya menjadi ulser.

Tambah pakar itu lagi, sinus preauricular diwarisi secara autosomal dominan (penyakit keturunan yang hanya diwarisi salah satu gen (ibu atau bapa) atau boleh timbul secara spontan.

"Ia juga boleh berlaku di kedua-dua belah telinga iaitu antara 25 hingga 50 peratus kes dan boleh juga berlaku pada bahagian sebelah telinga sahaja.

LEBIH serius apabila kulit sekitar kawasan kantung mula memerah.
LEBIH serius apabila kulit sekitar kawasan kantung mula memerah.

"Sinus di sebelah kiri telinga adalah lebih kerap berlaku berbanding kanan bagi individu yang mempunyai sinus pada sebelah telinga sahaja (unilateral). Pembabitan lelaki dan wanita adalah sama untuk masalah telinga ini," katanya.

Bagi pakar ENT, pesakit biasanya diberi ubat antibiotik dan pembedahan kecil dilakukan untuk mengeluarkan cecair nanah.

"Sekiranya 'cyst' mengalami jangkitan, pakar biasanya melakukan pembedahan kecil bagi menangani masalah itu.

"Namun untuk sesetengah pesakit, pembedahan membuang semua 'cyst' berkenaan mesti dilakukan sebaik sahaja jangkitan pada lubang itu sembuh.

"Prosedur pembedahan ini penting bagi memastikan jangkitan sinus preaurikular tidak berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 6:20 AM