PAXLOVID keluaran Pfizer gabungan nirmatrelvir dan ritonavir. FOTO Reuters
PAXLOVID keluaran Pfizer gabungan nirmatrelvir dan ritonavir. FOTO Reuters
Siti Hawa Mohd Nor

Sebelum ini, terdapat beberapa jenis ubat diluluskan untuk rawatan Covid-19 termasuk 'favipiravir', 'remdesivir', 'baricitinib' dan 'tocilizumab'.

Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru sahaja meluluskan penggunaan ubat antivirus untuk rawatan Covid-19 secara pendaftaran bersyarat.

Ubat antivirus yang digunakan untuk merawat penyakit Covid-19 tahap ringan hingga sederhana ini adalah kombinasi ubat nirmatrelvir dan ritonavir.

Ubat ini berfungsi menghentikan pembiakan virus dalam sel, seterusnya merencat pembiakan virus ke seluruh badan pesakit.

Ini dapat membantu badan untuk melawan jangkitan virus dan membolehkan kesihatan pesakit bertambah baik dengan lebih cepat.

Beberapa kriteria perlu dipenuhi pesakit yang dipreskrib dengan ubat antivirus nirmatrelvir dan ritonavir.

Ubat ini hanya digunakan oleh pesakit berusia 18 tahun ke atas, dijangkiti Covid-19 tahap ringan hingga sederhana dan jangkitan Covid-19 dialaminya yang berisiko tinggi menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian.

Antara contoh golongan berisiko tinggi ialah warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit penyakit kronik dan pesakit dengan daya ketahanan badan rendah.

Ubat ini juga perlu diberikan kepada pesakit dalam tempoh lima hari selepas kemunculan gejala.

Pengamal perubatan akan menentukan pemilihan pesakit bersesuaian berdasarkan penilaian klinikal.

Sebelum pengambilan ubat ini, penting bagi pesakit untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada doktor atau ahli farmasi beberapa perkara.

Iaitu, sekiranya mempunyai sebarang alahan, menghidap sebarang penyakit terutama penyakit hati atau buah pinggang yang teruk, sedang hamil atau merancang untuk hamil, sedang menyusukan anak atau sedang mengambil sebarang ubat-ubatan.

Selain itu, pengambilan ubat antivirus ini dengan sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan kesan sampingan serius, mengancam nyawa atau mempengaruhi mekanisme tindakan ubat ini.

Oleh itu, maklumkan kepada doktor seandainya anda mengambil sebarang ubat-ubatan termasuk ubat yang dibeli tanpa preskripsi dari farmasi, pasar raya atau kedai makanan kesihatan.

Dos disyorkan ialah dua tablet nirmatrelvir yang berwarna merah jambu bersama satu tablet ritonavir berwarna putih, diambil dua kali sehari.

Kepingan blister untuk setiap hari rawatan diasingkan kepada dua bahagian dengan warna berlainan untuk membezakan tablet yang perlu diambil pada waktu pagi dan malam.

Bagi setiap dos, tiga tablet perlu diambil secara serentak sebelum atau selepas makan.

Tablet perlu ditelan dan elakkan daripada mengunyah, memotong atau menghancurkan tablet bagi memastikan keberkesanan rawatan.

Satu kitaran rawatan mengambil masa lima hari. Justeru, pengambilan ubat ini perlu diteruskan sehingga tamat tempoh rawatan walaupun pesakit sudah berasa lebih sihat.

Seperti ubat-ubatan lain, nirmatrelvir dan ritonavir juga mempunyai kesan sampingan, walaupun bukan semua pengguna akan mengalaminya.

Kesan sampingan biasa termasuklah perubahan deria rasa, cirit-birit, muntah dan tekanan darah tinggi.

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mengalami sebarang kesan tidak diingini.

Pengambilan dos yang lengkap penting untuk mendapatkan rawatan efektif.

Namun sekiranya tertinggal satu dos, ambil dos itu sebaik sahaja teringat.

Jika melepasi tempoh lapan jam, abaikan dos yang tertinggal dan ambil dos seterusnya seperti biasa. Jangan gandakan dos untuk menggantikan dos tertinggal.

Penyimpanan ubat dengan cara yang betul adalah penting bagi mengekalkan keberkesanan dan kualiti ubat.

Ubat ini perlu disimpan pada suhu di bawah 25°C, jauh daripada kanak-kanak.

Elakkan daripada menyimpan nirmatrelvir dan ritonavir dalam peti sejuk atau peti sejuk beku, dalam bilik air yang lembap atau berdekatan dengan sumber haba seperti dapur memasak

Kesimpulannya, kemunculan ubat anti-virus bagi merawat jangkitan Covid-19 tahap ringan hingga sederhana ini tidak menggantikan manfaat vaksinasi dan tindakan kesihatan awam seperti pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 6:35 AM