Sanggeri M Veloo dan Pegawai Farmasi Hospital Labuan

Kudis herpes atau jangkitan oral Herpes Simplex disebabkan jangkitan virus Herpes Simplex jenis 1 (HSV-1). Biasanya virus ini membabitkan jangkitan di bahagian mulut dan membentuk ulser yang boleh menyebabkan kesakitan dan kesukaran untuk makan dan minum. Ia juga boleh menyebabkan jangkitan di bahagian alat kelamin.

Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012, dianggarkan 3.7 bilion orang bawah umur 50 tahun atau 67 peratus populasi dijangkiti HSV-1 di seluruh dunia. Jangkitan ini mudah disebarkan kepada individu lain melalui sentuhan secara langsung atau tidak langsung.

Menyentuh cecair dalam ulser kudis herpes atau berkongsi barang dengan individu yang dijangkiti HSV-1 terutamanya dalam fasa jangkitan aktif mungkin menyebabkan sebaran jangkitan kepada seseorang yang sihat. Namun, kebanyakan pesakit dijangkiti virus ini tidak menunjukkan tanda klinikal yang ketara.

Kudis herpes ini terjadi melalui beberapa peringkat dan simptomnya tidak akan diketahui sehingga terjadinya ulser. Antara gejala yang biasa dijumpai adalah lepuh atau ulser yang sakit di sekitar mulut. Individu yang dijangkiti sering mengalami kesakitan, kegatalan dan kepanasan di sekeliling mulut mereka sebelum gelembung air jangkitan timbul.

Kudis herpes biasanya sembuh sendiri bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah sistem pertahanan tubuh. Individu yang dijangkiti HSV-1 biasanya mempunyai virus ini di dalam badan mereka seumur hidup. Virus ini akan terus menghuni sel saraf pesakit walaupun tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan.

Selepas jangkitan awal, lepuh atau kudis ini boleh berulang kembali pada masa akan datang apabila diaktifkan semula oleh beberapa faktor seperti stres, demam, sistem pertahanan tubuh yang rendah, penggunaan sesetengah ubat seperti ubat kemoterapi dan sebagainya. Kekerapan jangkitan ini berulang kembali pula berbeza antara individu.

Setakat ini tiada rawatan untuk menyembuhkan kudis herpes. Namun ada beberapa jenis ubat yang boleh digunakan bagi melegakan simptom kesakitan, kegatalan, kepedihan di bahagian ulser serta demam dan sakit otot yang dicetuskan akibat penyakit ini.

Sebelum memulakan sebarang rawatan, pesakit perlu memaklumkan kepada doktor dan ahli farmasi sekiranya mempunyai apa-apa alahan ubat atau penyakit lain agar rawatan sesuai dapat diberikan kepada pesakit.

Ubat antivirus yang digunakan dalam rawatan ‘cold sore’ boleh dibahagikan kepada ubat sapuan (topikal), ubat makan (oral) dan ubat suntikan. Untuk jangkitan yang teruk, pengambilan ubat antivirus secara suntikan adalah diperlukan.

Antara contoh ubat antivirus yang digunakan untuk rawatan adalah aciclovir dan valaciclovir. Ubat-ubatan ini mempercepatkan proses penyembuhan kudis herpes, mengurangkan frekuensi dan keterukan jangkitan berulang.

Namun, ia tidak dapat menghapuskan jangkitan secara kekal. Ia harus digunakan sebaik sahaja tanda awal kudis herpes muncul bagi memastikan rawatan ini lebih berkesan.

Jenis ubat, bentuk dos, tempoh dan selang masa yang disarankan ketika mengambil ubat-ubatan ini berbeza bergantung pada keadaan pesakit. Ubat-ubatan biasanya dipreskripsikan kepada pesakit oleh doktor selepas pemeriksaan dijalankan.

Bagi rawatan demam dan sakit otot, pesakit boleh mengambil ubat tahan sakit atau paracetamol dengan dos dan frekuensi yang betul seperti dicadangkan ahli farmasi atau doktor yang merawat.

Selain mengambil ubat-ubatan di atas, pesakit juga dinasihatkan untuk mengelakkan mengambil makanan yang pedas dan berasid serta tidak menyentuh bahagian jangkitan pada mulut dengan menggunakan tangan kecuali ketika menyapu ubat.

Pastikan tangan dibasuh bersih dengan menggunakan sabun sebelum dan selepas menyapu ubat pada ulser. Sebaik-baiknya ubat sapu disapukan dengan lembut di atas ulser dan tidak menggosoknya bagi mengelakkan ulser menjadi bertambah teruk.

Jika pesakit mendapati masalah ini semakin teruk atau berpanjangan, pesakit dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan lanjut di fasiliti kesihatan. Perkara ini perlu diambil perhatian terutama bagi pesakit yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang rendah seperti pesakit HIV atau pesakit yang mengambil rawatan steroid untuk jangka masa panjang.

Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut berkaitan ubat-ubatan, rujuklah kepada ahli farmasi berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan, Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi hingga 5 petang, di talian 1800-88-6722.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:00 AM