DR Marina memberi penerangan kepada penyanyi tanah air mengenai peti suara.
DR Marina memberi penerangan kepada penyanyi tanah air mengenai peti suara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


ADA individu gemar berdehem untuk melegakan tekak kerana berasakan ada sesuatu terperangkap di dalamnya.

Bagaimanapun, kelegaan itu hanya sementara dan rasa itu akan berulang semula hinggakan berdehem menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan.

Tindakan ini dinamakan sebagai pembersihan tekak (throat clearing) dan perbuatan itu sebenarnya boleh menyebabkan kecederaan serta merosakkan peti suara. Namun, tidak ramai yang mengetahuinya.

Pita suara (vocal fold) ialah struktur di dalam halkum (peti suara) atau laring (larynx dalam bahasa perubatan).

Ia tutup dan bergetar ketika bercakap, menelan serta terbuka ketika bernafas. Ia juga berfungsi untuk mengawal kualiti suara.

Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi Hospital Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) Prof Dr Marina Mat Baki berkata, semakin kerap melakukan pembersihan tekak, lebih banyak kahak terkumpul di tekak.

Beliau berkata, mereka yang sering melakukan pembersihan tekak berkemungkinan disebabkan dua perkara.

"Pertama, mungkin kerana masalah resdung yang dihidapinya, tetapi tidak dirawat menyebabkan kahak berkumpul di bahagian tekak.

"Semakin kerap individu itu berdehem, ia akan mencetuskan lebih banyak keradangan dan mendatangkan masalah.

"Punca kedua ialah berkemungkinan daripada bahagian perut apabila asid dalam organ ini (perut) naik ke atas dan melimpah ke peti suara," katanya.

Menurutnya, apabila ia terjadi (asid naik dan melimpah ke peti suara), ia akan mengakibatkan tekak bengkak dan seperti ada sesuatu terperangkap di bahagian berkenaan.

"Rasa tidak selesa pada tekak mendorong seseorang melakukan pembersihan tekak, tetapi kahak tidak dapat dikeluarkan.

"Keadaan ini dinamakan sebagai 'globus sensation' yang berpunca daripada masalah refluks," katanya.

Dr Marina berkata demikian pada program Rakaman Karaoke Laring sempena sambutan Hari Suara Sedunia yang disambut pada 16 April di HCTM UKM, baru-baru ini.

Tujuan program berkenaan ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan potensi penggunaan peti suara.

Di samping itu, ia untuk mendidik masyarakat dalam penjagaan suara dan membantu mereka mengatasi masalah suara atau meningkatkan potensi suara.

Pada program itu, beberapa penyanyi terkenal tanah air turut hadir untuk rakaman karaoke laring apabila mereka menyanyi dalam keadaan pergerakan peti suara dirakam oleh Pakar Laringologi Dr Marina.

Dr Marina yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan UKM berkata, punca utama terjadinya masalah peti suara ialah disebabkan tabiat buruk seperti merokok dan minum minuman keras.

"Punca lain yang ramai tidak menyedarinya ialah kurang minum air apabila bercakap dalam tempoh lama seperti jurujual dan guru.

"Mereka bercakap dalam intonasi tinggi dan kuat hingga kering tekak, menyebabkan peti suara 'berlanggar' dalam keadaan kering, seterusnya berlaku kecederaan (trauma).

"Kesan jangka panjang boleh menyebabkan sista (cyst) dan polip," katanya.

Beliau berkata, langkah yang sesuai dilakukan untuk melegakan rasa kahak yang melekat pada tekak ialah dengan minum air masak dengan kerap dan secukupnya.

Kata Dr Marina, suara sangat berharga bagi setiap individu kerana digunakan untuk bercakap dan bekerja.

"Oleh itu, penting untuk menjaga suara kerana tanpa penjagaan yang baik, dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan masalah peti suara dan pelbagai masalah lain.

"Ini termasuk serak, suara tidak boleh digunakan dengan baik dan kemungkinan berlaku ketumbuhan atau barah.

"Masalah serak boleh menyebabkan kualiti hidup seseorang terjejas dan kehilangan pekerjaan seperti penyanyi, guru serta jurujual yang sememangnya banyak menggunakan suara," katanya.

Ditanya mengenai rawatan bagi masalah peti suara, Dr Marina berkata, ia terbahagi kepada tiga iaitu menggunakan ubat-ubatan (bergantung kepada punca masalah suara), pembedahan serta terapi suara.

Katanya, pesakit peti suara berpotensi sembuh menerusi rawatan perubatan.

Bagi mereka yang ada masalah bintil pada pita suara iaitu sista dan polip (bukan barah), rawatan diberikan adalah pembedahan.

"Untuk penyakit bintil, kita tidak melakukan pembedahan awal kerana perlu merawat puncanya terlebih dahulu iaitu kahak berlebihan dan keradangan.

"Kebanyakan bintil boleh surut dengan rawatan ubat-ubatan dan menjaga 'vocal hygiene' tanpa memerlukan pembedahan.

"Alternatif lain ialah membawa pesakit berjumpa pakar terapi suara untuk menunjukkan cara penggunaan suara yang betul," katanya.

Katanya, bagi masalah peti suara disebabkan oleh barah, rawatan awal yang diberikan kepada pesakit adalah sama ada pembedahan laser melalui mulut atau radioterapi.

Sekiranya dikesan lewat, pembedahan melibatkan pembuangan keseluruhan peti suara dan ia menyebabkan seseorang itu menjadi bisu.

"Ada juga pesakit tidak perlu menjalani pembedahan dan pengambilan ubat, tetapi hanya mengikuti rawatan terapi suara.

"Ini kerana peti suaranya terkunci dan memerlukan terapi suara bagi mengeluarkan suara normal," katanya.

Beliau berkata, satu lagi masalah suara yang boleh dirawat ialah kelumpuhan peti suara.

Puncanya disebabkan oleh komplikasi pembedahan seperti pembedahan tirod dan kecederaan pada saraf yang menjaga pita suara (kedudukannya hampir dengan kelenjar tiroid).

"Jika berlaku kecederaan pada saraf ini, pesakit masih boleh bercakap, tetapi suaranya perlahan.

"Suara pesakit kekal perlahan, tetapi boleh dirawat dan perlu menjalani pembedahan pemulihan saraf serta terapi suara," katanya.

Dr Marina berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan suara masih rendah dan penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman mengenai masalah peti suara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 7:00 AM