TIARA mula mengalami masalah peti suara ketika sesi latihan teater P Ramlee The Musical 3 awal Oktober lalu.
TIARA mula mengalami masalah peti suara ketika sesi latihan teater P Ramlee The Musical 3 awal Oktober lalu.
BERSAMA pelakon teater P Ramlee The Musical 3, Tony Eusoff, Nadia Aqilah dan Lisa Surihani.
BERSAMA pelakon teater P Ramlee The Musical 3, Tony Eusoff, Nadia Aqilah dan Lisa Surihani.
Oleh Nor Akmar Samudin

Sudah pelbagai usaha dan cara digunakan Puan Sri Tiara Jacquelina, 47, untuk mengubat masalah peti suaranya yang rosak sejak sebulan lalu, namun keadaannya tetap sama sehingga syarikat miliknya, Enfiniti Vision Media Sdn Bhd terpaksa membatalkan Konsert Reunion Puteri Gunung Ledang (PGL) yang sepatutnya diadakan pada 28 November hingga 1 Disember ini dan ditunda ke tarikh baru, Mac tahun depan.

Pada sidang media yang diadakan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur baru-baru ini, dalam nada suara berbisik Tiara berusaha menjelaskan masalah peti suaranya itu mula timbul ketika dia mengadakan sesi latihan teater P Ramlee The Musical 3 (PRTM3) yang dipentaskan di IB awal Oktober lalu.

"Ketika saya beraksi dalam PRTM3, saya menggunakan suara yang tidak pernah digunakan sebelum ini dengan lontaran yang berbeza daripada biasa. Ia seperti memaksa sedangkan waktu itu saya sakit tekak. Akibatnya ia semakin membengkak dan sebaik saja pementasan itu selesai doktor menasihatkan saya berehat selama dua bulan.

"Keputusan menunda konsert itu terpaksa dibuat mengenangkan risiko yang terpaksa saya dihadapi jika ia diteruskan juga. Waktu pementasan PRTM3 saya tidak bercakap langsung pada sebelah siang dan hanya benar-benar menggunakan suara pada waktu persembahan saja.

"Dalam masa sebulan ini saya sudah mencuba pelbagai jenis rawatan sama ada bersama pakar mahupun rawatan alternatif Cina, Arab, terapi dan akupuntur. Namun keadaannya tetap sama," katanya.

Tiara berkata, doktor memaklumkan pintu peti suaranya bengkak dan luka. Pada masa sama dia ada ketumbuhan seperti ketumbit pada bahagian peti suara.

Konsert reunion itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 penjenamaan PGL.

"Memang sedih apabila konsert itu terpaksa ditunda kerana semua pelakon dan kru produksi sudah bekerja keras untuk menjayakannya. Disebabkan saya seorang seorang segala usaha itu jadi tergendala, pun begitu mereka semua memahami dan memberikan sokongan kepada saya untuk berehat sambil mengubati peti suara saya sehingga benar-benar sembuh.

"Kehangatan PGL sepatutnya dirasai tahun ini kerana genap 10 tahun pementasannya tetapi apa boleh buat terpaksa ditunda pada tahun depan," katanya.

Sementara itu Ketua Kreatifnya, Chedd Eddie berkata, penundaan itu ada kebaikannya untuk memberi lebih ruang kepada produks melakukan lebih banyak latihan dan penambahbaikkan untuk memantapkan lagi persembahan pada Mac depan.

Jelas Chedd, sejak jualan tiket dibuka kepada orang ramai beberapa minggu lalu, mereka menerima tempahan yang amat baik terutama daripada peminat setia PGL.

"Berikutan penundaan itu, kepada pemegang tiket boleh diberi pilihan sama ada untuk terus memegangnya atau menebus kembali dengan harga asal di IB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:03 AM