ARBAAI diperiksa Dr Marina di HCTM. - FOTO Runanis Sukri
ARBAAI diperiksa Dr Marina di HCTM. - FOTO Runanis Sukri
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Selama 44 tahun 'bersahabat' dengan rokok gulung, Arbaai Kusnin, 64, akhirnya disahkan menghidap barah peti suara tahap empat pada April lalu, malah kini pernafasannya tidak lagi menerusi hidung, tetapi melalui stoma atau lubang di leher yang kekal.

Arbaai menjalani pembedahan membuang peti suara dan halkum di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada Mei lalu.

Selain itu, Arbaai perlu menjalani 32 kali rawatan radioterapi untuk membunuh sel barah selepas pembedahan berkenaan.

Ketika bergelar perokok tegar, menghisap 20 hingga 30 rokok gulung sehari adalah perkara biasa dilakukan Arbaai sebelum berhenti merokok April lalu.

Arbaai berkata, dia kehilangan banyak nikmat apabila menjadi pesakit barah peti suara seperti fungsi deria rasa dan deria bau berkurangan.

"Saya juga bernafas melalui lubang di leher. Satu lubang kecil juga ditebuk pada dinding pernafasan berdekatan stoma.

"Lubang ini membolehkan udara daripada paru-paru masuk ke saluran makanan (esofagus) dan menggetarkannya, seterusnya menghasilkan suara.

"Stoma perlu sentiasa ditutup sama ada dengan penutup khas atau menggunakan jari supaya ada suara ketika bercakap, meskipun suara itu berbeza berbanding sebelum ini.

"Namun, di sebalik ujian ini, saya tetap bersyukur dan optimis penyakit ini boleh pulih dengan perlu mematuhi arahan doktor selain menjalani rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, dia didiagnosis menghidap barah peti suara bermula apabila suaranya bertukar serak.

"Keadaan ini berlarutan hampir dua tahun dan lama-kelamaan suara mula 'hilang'. Tiga bulan suara saya hilang, malah saya terpaksa meneran kuat setiap kali bercakap.

"Saya berulang-alik ke klinik swasta, farmasi dan hospital untuk pemeriksaan serta mengambil ubat, tetapi tidak banyak perubahan pada suara," katanya.

Arbaai berkata, pakar di hospital swasta mencadangkannya ke HCTM untuk bertemu Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi Prof Dr Marina Mat Baki bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

"Saya menjalani pembedahan tisu (biopsi) bagi mengenal pasti ketumbuhan yang terdapat pada peti suara April lalu. Seminggu kemudian, saya didiagnosis menghidap barah peti suara tahap empat.

"Memang terkejut apabila dimaklumkan berita itu, namun saya tetap menerima takdir ini," katanya.

Arbaai turut menasihati individu yang berhasrat untuk berhenti merokok supaya memiliki hati yang kuat kerana tanpa tekad itu, sukar untuk meninggalkan tabiat terbabit.

"Jika boleh, berhenti merokok awal kerana ia dapat mengurangkan risiko barah yang dikaitkan dengan rokok sebagai penyebabnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 6:46 AM