Zaitie Satibi

Rawatan endodontik (salur akar gigi) adalah alternatif bagi gigi yang rosak teruk berikutan tisu pulpa dijangkiti atau mati supaya gigi tidak perlu dicabut dan boleh terus kekal berfungsi.

Lazimnya, rawatan endodontik dijalankan terhadap gigi yang rosak teruk atau mempunyai tampalan yang besar hingga membabitkan lapisan pulpa serta gigi yang sudah mati. Selain itu, gigi yang mempunyai tampalan besar dan ditetapkan untuk pembuatan korona mungkin perlukan rawatan endodontik terlebih dahulu untuk memasang tiang dan teras.

Rawatan sebegini dilakukan supaya gigi yang rosak dapat dibersihkan dan tidak perlu dicabut supaya gigitan dan fungsi gigi dalam rahang dapat dikekalkan. Jika lambat mendapatkan rawatan ini atau tidak dirawat langsung, ketidakselesaan atau kesakitan mungkin bertambah teruk serta ada jangkitan atau nanah pada gigi dan seterusnya, gigi mungkin terpaksa dicabut.

Kerosakan gigi yang menyebabkan rawatan endodontik terpaksa dilakukan berpunca daripada karies gigi yang tidak dirawat dan masalah ini membabitkan 2.4 bilion orang di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Persekutuan Pergigian Sedunia (FDI) mengeluarkan kertas putih pertamanya mengenai penjagaan endodontik terkini yang menyediakan sumber penting untuk doktor gigi, persatuan pergigian kebangsaan (NDA) dan pendukung kesihatan oral lain.

Kertas Putih Penjagaan Endodontik menakrifkan skala beban global penyakit endodontik dan mencadangkan penyelesaian yang mengutamakan pesakit bagi mempertingkatkan kesihatan endodontik. Ia diterbitkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Endodontik dalam Latihan Umum FDI yang disokong oleh pengeluar produk kesihatan pergigian, Dentsply Sirona.

Tidak hanya menumpu pada akar gigi, kertas putih ini menyeru supaya penjagaan endodontik dapat menangani himpunan hasil kesihatan lebih luas yang memberi kesan langsung terhadap pesakit termasuk pengekalan gigi dan impak terhadap kesihatan keseluruhan.

GIGI berwarna gelap tanda sudah mati.
GIGI berwarna gelap tanda sudah mati.

Pesakit mahukan rawatan yang mengurangkan kesakitan dan memastikan gigi yang terjejas adalah sihat serta kuat dalam jangka panjang. Mengambil kira perspektif pesakit dalam penyediaan penjagaan endodontik, ia memberi implikasi yang penting terhadap garis panduan rawatan sedia ada.

Presiden FDI, Dr Kathryn Kell berkata, pengamal bidang pergigian perlu beralih daripada hasil rawatan yang tertumpu semata-mata pada matlamat teknikal dan simptom klinikal selepas rawatan, di samping memberikan perhatian lebih teliti bagaimana dapat menyediakan perkhidmatan penjagaan yang lebih baik kepada pesakit.

“Kertas putih ini merumuskan keputusan daripada tinjauan yang diselesaikan oleh ahli FDI dan NDA bagi mengenal pasti halangan dalam menyediakan penjagaan endodontik. Ahli melaporkan bahawa akses terhad kepada penjagaan adalah cabaran berterusan dalam banyak negara.

“Malah, salah faham mengenai endodontik sebagai prosedur yang rumit atau menyakitkan sering menghalang pesakit daripada mendapatkan rawatan. Pendekatan komprehensif terhadap penjagaan endodontik meletakkan pesakit sebagai keutamaan,” katanya.

RAWATAN akar gigi elak gigi dicabut.
RAWATAN akar gigi elak gigi dicabut.

Prosedur rawatan endodontik

1. Rawatan ini mungkin memerlukan beberapa temujanji dengan doktor gigi bergantung pada tahap kerumitannya.

2. Radiograf periapikal gigi akan diambil sebelum rawatan bermula. Ini adalah untuk melihat bilangan dan keadaan akar gigi yang bermasalah.

3. Bahagian enamel dan dentin gigi akan dibersihkan dahulu di mana karies dibuang. Seterusnya tisu pulpa yang reput akan dibuang dari salur akar dan dibentuk serta dibersihkan dengan bahan nyah-jangkitan. Apabila selesai proses pembersihan, ubat dimasukkan ke dalam salur akar dan kaviti pada bahagian korona gigi ditutup dengan tampalan sementara.

4. Pada janji temu seterusnya, salur akar akan dibersihkan semula dan ditampal menggunakan bahan tampalan akar jika tiada sebarang masalah dan gejala.

5. Gigi akan ditampal tetap selepas rawatan salur akar selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:01 AM