Hafiz Ithnin


Apabila bercakap mengenai rawatan gigi mungkin terdapat individu yang merasakan ia sesuatu rawatan yang amat menyakitkan.

Apatah lagi, jika ia membabitkan rawatan akar pasti ada terfikir bahawa gusi akan 'dirobek' untuk membaiki akar gigi yang bermasalah itu.

Pensyarah dan Pakar Pergigian Restoratifdi Kuliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kapten (B) Dr Mohd Haikal Muhamad Halil berkata, rawatan saluran akar atau root canal treatment (RCT) ialah nama prosedur pergigian membabitkan pembersihan saluran akar daripada bakteria dan kerosakan pada pulpa serta akar gigi.

Jelasnya, gigi mempunyai lapisan enamel di luar, lapisan kedua dentin dan teras dalam lembut yang memanjang ke akar dalam tulang rahang. Ia mengandungi pulpa gigi yang terdiri daripada saraf, saluran darah dan tisu penghubung.

"Apabila bakteria masuk dalam teras lembut, pulpa boleh menjadi radang atau nekrotik (mati). Rawatan saluran akar diperlukan untuk membersihkan pereputan yang berlaku.

PERMUKAAN gigi ketika rawatan akar sedang dilakukan.
PERMUKAAN gigi ketika rawatan akar sedang dilakukan.

"Ada pelbagai tanda-tanda jelas yang perlu diketahui jika anda mengalami simptom-simptom berkenaan. Hal ini kerana, anda mungkin memerlukan rawatan saluran akar atau RCT ini," katanya.

Katanya, ketika prosedur saluran dilakukan, doktor gigi akan mengekstrak bakteria dan pereputan daripada pulpa gigi, akar dan saraf.

"Selain itu, membasmi kuman kawasan dengan antibiotik, mengisi akar yang kosong dan tutup bahagian berkenaan untuk mengelakkan pereputan baharu," katanya.

PEKA kepada perubahan warna gigi kerana ia mungkin akibat RCT.
PEKA kepada perubahan warna gigi kerana ia mungkin akibat RCT.

Dr Mohd Haikal berkata, saluran akar boleh dilakukan doktor gigi am atau pakar yang dikenali sebagai endodontist.

"Rawatan saluran akar dapat membantu mengekalkan gigi asli dan menghalang proses kerosakan daripada berterusan.

"Namun, gigi akan menjadi sedikit rapuh berbanding kekuatan asal gigi asli yang sihat. Oleh sebab itu, gigi yang melalui proses RCT sering memerlukan mahkota atau dikenali sebagai crown," katanya.

Katanya, jika anda mengalami salah satu daripada gejala ini, adalah sangat penting untuk berjumpa doktor gigi secepat mungkin:

X-ray selepas rawatan akar.
X-ray selepas rawatan akar.

1. Sakit yang berterusan

Sakit gigi yang berterusan adalah salah satu tanda bahawa anda mungkin memerlukan rawatan saluran akar. Kesakitan pada gigi anda mungkin mengganggu anda sepanjang masa atau mungkin hilang dari semasa ke semasa, tetapi sentiasa kembali.

Anda mungkin merasakan kesakitan berdenyut-denyut jauh dalam tulang gigi anda atau anda mungkin merasakan sakit yang dirujuk pada muka, rahang atau pada kawasan gigi yang lain.

2. Sensitiviti kepada haba dan sejuk

Sensitiviti adalah satu rasa sakit yang tajam atau ngilu. Anda mungkin memerlukan rawatan saluran akar jika sakit itu berlarutan dalam jangka panjang, walaupun tanpa stimulasi seperti makan atau minum.

Jika gigi anda sakit apabila anda makan atau minum sesuatu yang panas atau sejuk, ini mungkin petunjuk bahawa saluran darah dan saraf dalam gigi dijangkiti atau rosak.

SAKIT gigi berpanjangan menjadi salah satu simptom masalah RCT.
SAKIT gigi berpanjangan menjadi salah satu simptom masalah RCT.

3. Perubahan warna gigi

Jangkitan pada pulpa gigi anda boleh menyebabkan gigi anda berubah warna. Trauma pada gigi atau kerosakan tisu dalaman boleh merosakkan akar dan memberikan kesan kepada warna gigi, ia akan kelihatan hitam kelabu.

Walaupun perubahan warna gigi boleh disebabkan oleh punca lain, anda digalakkan untuk berjumpa doktor gigi jika anda perasan perubahan warna gigi anda.

4. Gusi bengkak

Gusi bengkak berhampiran kawasan gigi yang sakit boleh menjadi tanda yang anda memerlukan rawatan saluran akar. Bengkak mungkin datang dan pergi. Ia mungkin lembut apabila anda menyentuhnya atau ia mungkin tidak menyakitkan untuk disentuh.

Anda juga mungkin mempunyai sedikit pertumbuhan isi seperti jerawat pada gusi anda. Ia dipanggil bisul gusi, parulis atau abses.

Jerawat mungkin mengeluarkan nanah daripada jangkitan pada gigi. Ini boleh memberi anda rasa yang tidak menyenangkan dalam mulut anda dan menyebabkan nafas anda berbau busuk.

5. Sakit apabila anda makan atau menyentuh gigi

Jika gigi anda sensitif apabila anda menyentuhnya atau apabila anda makan, ia mungkin menunjukkan kerosakan gigi yang teruk atau kerosakan saraf. Keadaan ini mungkin perlu dirawat dengan rawatan saluran akar.

Ia berlaku terutama jika sensitiviti berterusan dari masa ke masa dan tidak hilang apabila anda berhenti makan atau berhenti memberikan stimulasi.

Ligamen di sekeliling hujung akar gigi yang dijangkiti mungkin menjadi hipersensitif daripada pulpa yang mati.

Bahan buangan daripada pulpa yang mati mungkin merengsakan ligamen menyebabkan kesakitan akibat tekanan menggigit.

6. Gigi patah atau retak

Jika gigi anda pernah patah atau retak disebabkan kemalangan, kejadian dalam sukan sentuhan atau disebabkan mengunyah sesuatu yang keras, bakteria boleh masuk dalam saluran saraf dan membawa kepada keradangan dan jangkitan.

Namun, walaupun hanya berlaku kecederaan, tetapi tidak membabitkan patah atau retak, kecederaan itu masih boleh merosakkan saraf gigi akibat trauma. Saraf boleh menjadi radang dan mengakibatkan kesakitan seterusnya memerlukan rawatan akar.

7. Gigi bergoyang

Apabila gigi anda dijangkiti, ia mungkin berasa lebih longgar. Ia boleh disebabkan oleh faktor lain selain nekrosis pulpa (kematian saraf), tetapi ia boleh menjadi tanda bahawa saluran akar diperlukan.

Bahan sisa berasid daripada kematian saraf boleh melembutkan tulang di sekeliling akar gigi yang mati, menyebabkan pergerakan.

Jika lebih daripada satu gigi terasa longgar, mobiliti atau gigi bergoyang itu berkemungkinan mempunyai punca selain daripada masalah yang mungkin memerlukan saluran akar, misalnya penyakit gusi.

Jelasnya, prosedur rawatan saluran akar kedengaran menakutkan, tetapi dengan teknologi pada hari ini, ia satu proses yang mungkin ada sedikit atau tiada kesakitan langsung.

"Hal ini kerana, penggunaan ubat kebas setempat akan disuntik di kawasan berkaitan untuk memberikan kesan kebas pada gusi dan gigi untuk keselesaan pesakit sepanjang prosedur.

"Jika anda didapati memerlukan rawatan saluran akar, namun mengalami bengkak muka atau demam, anda mungkin akan dibekalkan dengan antibiotik terlebih dahulu untuk membunuh jangkitan kuman dari dalam serta mengurangkan skala kesakitan anda," katanya.

Tambahnya, prosedur rawatan saluran akar adalah lebih kurang mendapatkan tampalan yang besar. Tetapi, proses rawatan ini akan mengambil masa lebih lama, jika ada jangkitan, beberapa temu janji dengan doktor gigi perlu dilakukan.

"Mulut anda akan kebas sepanjang proses membersihkan saluran akar dari pereputan, membasmikan kuman dan kemudian mengisinya dengan bahan lengai (inert) yang bebas kuman.

"Doktor gigi anda akan menggunakan empangan getah di sekeliling gigi yang memerlukan rawatan saluran akar. Ia akan mengurangkan risiko penyebaran bakteria dalam kawasan mulut dan mengelakkan bendasing atau bakteria masuk dalam saluran akar," katanya.

Tambahnya, kajian pemerhatian tahap kesakitan dalam tempoh sebelum rawatan, ketika rawatan dan selepas rawatan yang dilakukan pada 2011 membabitkan 72 sampel yang terdiri daripada pesakit yang melakukan rawatan saluran akar.

"Analisis mendapati bahawa kesakitan sebelum rawatan adalah tinggi, tetapi menurun secara sederhana dalam sehari selepas mendapat rawatan dan kemudian menurun dengan ketara ke tahap minimum dalam masa seminggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 7:00 AM