SPRING tampil dengan projek khas, Spring In Rock dibarisi Dinie (dari kiri), Zaha, Is, Ayib dan Hafiez.
SPRING tampil dengan projek khas, Spring In Rock dibarisi Dinie (dari kiri), Zaha, Is, Ayib dan Hafiez.
Abnor Hamizam Abd Manap


DEMI peminat kumpulan Spring terutama mereka yang pernah memiliki semua album Spring selain masih memberi sokongan hingga hari ini, Spring bakal muncul menerusi projek khas 'Spring In Rock'.

Pemain gitarnya, Zaha atau nama sebenarnya Mohd Adzhar Mohd Yusof berkata, ia juga sebagai buah tangan membuktikan Spring masih aktif selepas 33 tahun berada dalam industri muzik tanah air.

Bagaimanapun katanya, disebabkan Acong, Iskandar dan MP tidak lagi aktif manakala Ameng sibuk dengan persembahan solo, hanya dia seorang ahli asal Spring bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Projek band khas ini sebagai lanjutan selepas penerimaan baik peminat ketika Spring beraksi dalam Konsert Hiburan Minggu Ini terbitan RTM baru-baru ini.

"Apa yang menarik mengenai projek khas ini, Spring In Rock hanya mendendangkan lagu rancak 'heavy metal', 'hard rock' dan 'speed metal' yang pernah ada daripada semua album Spring, namun tidak ramai yang mengetahuinya," katanya.

Zaha berkata, dia mahu memperkenalkan semula genre lagu berkenaan antaranya Gubuk, Kawah Berapi, Harimau Malaya, Pesona Bintang, Lakaran Kembara, Juara, Kabut Cahaya Ungu, Haluan dan lain-lain lagi kepada peminat.

Katanya, Spring yang popular era 1980-an menerusi setiap album yang dihasilkan bukan sahaja menampilkan lagu jiwang, tetapi juga lagu rancak, namun lagu itu tidak disiarkan di radio ketika itu atas pelbagai sebab.

"Kebiasaan stesen radio yang memutarkan 'killer song' daripada album yang dihasilkan manakala lagu yang bukan dari genre itu tidak diberi perhatian.

ZAHA mahu popularkan semula lagu rancak kumpulan Spring.
ZAHA mahu popularkan semula lagu rancak kumpulan Spring.

"Justeru projek band khas ini akan mengembalikan semula nostalgia kepada peminat khususnya yang meminati lagu rock keras," katanya.

Bagi memastikan projek khas itu berjaya, Zaha berkata, dia mempelawa pemuzik muda berpengalaman dan profesional antaranya Ayib (drummer) yang memiliki Diploma Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Iskandar penyanyi kumpulan AQSA, Hafiez Ariff (bass) dan Dinie (gitar) yang juga pensyarah muzik dan selalu terbabit dalam program persembahan dalam dan luar negara.

Sementara itu, Zaha berkata, Spring In Rock juga bakal menghasilkan lagu baharu Bourgenvilla 2024 dan Sinar Bintang yang bakal mendapat sentuhan komposer terkenal Ly.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 6:11 AM