MUSUHNYA Habis Binasa oleh kumpulan Aqsa bakal meriahkan lagi sokongan untuk pasukan Negeri Sembilan FC.
MUSUHNYA Habis Binasa oleh kumpulan Aqsa bakal meriahkan lagi sokongan untuk pasukan Negeri Sembilan FC.
Abnor Hamizam Abd Manap


SELEPAS lagu Hobin Jang Hobin nyanyian anggota kumpulan Rampa, Allahyarham Poe dan Lagu Bola daripada W.A.R.I.S, penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan (NS) FC bakal disajikan dengan sebuah lagi lagu baharu.

Lagu berjudul Musuhnya Habis Binasa ciptaan Zaha Spring dendangan kumpulan Aqsa.

Zaha berkata, lagu berkenaan dicadangkan kelab penyokong Otai N9 Bola Fans dan mereka turut mencadangkan ia dijadikan lagu rasmi pasukan bola sepak Negeri Sembilan FC.

Katanya, lagu yang dicipta pada Februari lalu itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

"Ketika ini saya bersama kumpulan Aqsa, giat menjalani latihan sebelum menjalani rakaman di studio sebelum Ramadan ini.

"Tujuan lagu ini dicipta bagi memeriahkan lagi sokongan kepada pasukan Negeri Sembilan FC yang kini bermain dalam Liga Perdana," katanya.

Zaha berkata, lagu menggunakan loghat Negeri Sembilan itu diharap menjadi pembakar semangat buat penyokong dan pemain.

Katanya, lagu kategori rancak itu akan dimuat naik di media sosial kelab berkenaan selain akan diserahkan kepada badan penyiaran termasuk stesen radio Negeri FM.

"Kita menjangkakan kerja rakaman termasuk proses 'mixing' dan 'mastering' di Studio Kaca, Seremban mengambil masa lebih kurang dua minggu.

"Ini adalah projek terbaharu kumpulan Aqsa bersama kelab penyokong bola sepak di negeri ini dan diharap penyokong bola sepak dapat menerima lagu ini," katanya.

Zaha berkata, penghasilan lagu ini dapat memperbanyakkan khazanah lagu berkaitan bola sepak dalam pelbagai genre.

Lagu Hobin Jang Hobin dendangan Poe menjadi siulan peminat sejak ia diterbitkan pada 1994 menerusi album bertajuk Sahabat dan W.A.R.I.S dengan Lagu Bola pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:10 AM