BOB (kanan) bersama ahli kumpulan Sentuhan.
BOB (kanan) bersama ahli kumpulan Sentuhan.
Abnor Hamizam Abd Manap

ALBUM Melodi Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia yang menampilkan 14 kumpulan pemuzik jalanan atau busker hampir menemui kegagalan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana kerajaan pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, kaedah jualan secara dalam talian menyelamatkan album berkenaan daripada berkubur dek penangan PKP yang ketika itu turut memaksa semua persembahan di khalayak seperti busking dibatalkan.

Bercerita mengenai album itu, Aizad Azman atau lebih dikenali Bob Sentuhan berkata, idea menerbitkan album itu sebagai menghargai sahabat pemuzik yang kebanyakan adalah kenalannya dari seluruh negara.

"Album ini berjaya disiapkan selepas menjalani proses 'mixing' dan 'mastering' selama tiga bulan di studio CD Naz Metalasia, Kuala Lumpur," katanya.

Menurut Bob, proses rakaman tidak dijalankan di studio berkenaan sebaliknya mereka masing-masing merakam lagu di tempat lain.

Disebabkan itu, ada proses 'mixing' dan 'mastering' dilakukan berulang kali bagi memastikan bunyi yang dihasilkan berkualiti.

Bagaimanapun, apabila album berkenaan siap pada 17 Mac lalu, hasrat untuk mempromosikannya terbantut apabila PKP mula dilaksanakan sehari selepas itu.

KUMPULAN Aqsa yang dianggotai Zaha Spring (kanan) turut terbabit dalam penghasilan album Melodi Sahabat Pemuzik Jalanan Malaysia.
KUMPULAN Aqsa yang dianggotai Zaha Spring (kanan) turut terbabit dalam penghasilan album Melodi Sahabat Pemuzik Jalanan Malaysia.

Bob berkata, kos menerbitkan album itu ialah RM8,000 yang dikongsi bersama rakan-rakan busker lain. "Kebanyakannya tidak kisah mengeluarkan belanja sendiri. Sekarang kami menjualnya dengan harga RM40. Saya berharap album yang memperkenalkan busker ini akan mendapat sambutan. Semua lagu di dalam album ini dihasilkan ahli kumpulan berkenaan," katanya.

Sebanyak 14 kumpulan yang terbabit dalam penghasilan album ini ialah Akustik Dari Hati, Key Project, Jass Pangkor Busker, Genji Busker, Sentuhan, Canang Busker, Assalam Busker, The Chors, Blues Bugs, 8 Teen March, Lex, Lang Buana Mat Periuk, Anak Seni Warisan dan Aqsa.

Bagi yang berminat membeli album ini boleh ke Facebook Sentuhan.

Sementara itu, pemain gitar utama kumpulan Aqsa, Mohd Adzhar Mohd Yusof atau Zaha berkata, kumpulannya menampilkan lagu Kampungku Baru dalam album itu.

Katanya, lagu dan lirik adalah ciptaannya itu menjalani proses rakaman awal di sebuah studio di Cyberjaya pada Jun tahun lalu.

"Kampungku Baru menceritakan pengalaman perantau yang kembali semula ke kampung dan melihat banyak kemajuan berlaku.

"Kami mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan lagu dan dua hari untuk proses rakaman. Lagu ini berentak rancak dan menepati cita rasa pengemar muzik yang turut meminati irama sedemikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:30 AM