KUMPULAN Aqsa dari kiri, Aboy (bass), Is (penyanyi), Emy (dram) dan Zaha (gitar).
KUMPULAN Aqsa dari kiri, Aboy (bass), Is (penyanyi), Emy (dram) dan Zaha (gitar).

PEMAIN gitar kumpulan Spring, Zaha mendakwa kebanyakan punca perpecahan sesebuah kumpulan muzik ialah apabila ada segelintir penyanyinya mula besar kepala selepas nama semakin dikenali.

Zaha atau nama sebenarnya, Mohd Adzhar Mohd Yusof berkata, sepatutnya anggota kumpulan perlu mengamalkan sikap bekerjasama bagi memastikan hayat sesebuah kumpulan itu bertahan lama.

"Dari dulu sampai sekarang, itulah yang biasanya terjadi. Apabila ia berlaku, kumpulan itu terumbang-ambing, malah lebih teruk apabila penyanyi bergerak solo dan melupakan terus anggota kumpulan," katanya.

Bagaimanapun, Zaha mengakui tidak semua penyanyi bersikap sedemikian, malah ada di antaranya tetap menjemput pemuzik daripada kumpulan asalnya untuk mengiringi persembahannya.

Sebagai contoh, Zaha berkata, anggota kumpulan Spring masih lagi berhubung dan jika ada tawaran persembahan mereka tetap bekerjasama. Namun, disebabkan pelbagai kekangan masa dan komitmen, Spring masih belum dapat membuat persembahan bersama.

"Walaupun penyanyi kami, Ameng sudah bergerak solo, Spring masih ada dan tidak dibubarkan. Kami juga sudah mempunyai pengganti Ameng," katanya.

Zaha berkata, dia kini turut menubuhkan kumpulan baharu iaitu Aqsa yang dianggotai Is (penyanyi), Aboy (bass) dan Emy (dram) yang aktif membuat 'busking' di Seremban 2 dan Senawang, Negeri Sembilan.

"Secara rasminya, saya masih lagi anggota Spring. Saya menubuhkan Aqsa kerana bermain muzik adalah periuk nasi saya," katanya.

Zaha berkata, kumpulan muzik ibarat sebuah pasukan bola sepak di mana semua pemainnya mempunyai peranan masing - masing.

AQSA ketika mengadakan persembahan di Seremban 2.
AQSA ketika mengadakan persembahan di Seremban 2.

Menurutnya, sesebuah kumpulan tidak boleh pergi jauh sekiranya ada di antara anggotanya merasakan dirinya 'superstar'.

"Ada rakan dari kumpulan muzik lain kecewa apabila ada penyanyi yang berlagak dan tidak mahu bekerjasama seperti membuat persiapan untuk persembahan. Tempat meletak buku lagu pun orang lain kena sediakan tapi bab bayaran tahu pula nak lebih," katanya.

Selain penyanyi, masalah pengagihan bayaran antara anggota kumpulan juga menyebabkan berlakunya perpecahan sehingga ada yang tidak bertegur sapa.

" Dalam Spring dan Aqsa, kami mengamalkan pembahagian pendapatan secara sama rata selepas ditolak kos tanpa mengira kita di posisi mana. Secara tak langsung ia menimbulkan suasana harmoni sesebuah kumpulan dan seterusnya semua ahli dapat bekerja tanpa sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:10 AM