PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang menghadiri FKRK di Pantai Geting.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang menghadiri FKRK di Pantai Geting.
Siti Rohana Idris


Ribuan pengunjung dari dalam dan luar Kelantan mengunjungi Pantai Geting, Tumpat sempena Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2023.

Acara bagi memartabatkan lagi warisan kebudayaan dan kesenian masyarakat tempatan itu diadakan selama tiga hari, berakhir Ahad lalu.

Ia dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Kelantan dengan kerjasama Kerajaan negeri dan Persatuan Seni Budaya Sri Gelam,

Selain gerai jualan barangan dan makanan, tarikan utama FKRK adalah acara permainan tradisional serta kebudayaan masyarakat negeri itu yang sudah jarang dapat ditemui hari ini.

Antara acara menarik yang disediakan pada penganjuran festival kali ke enam itu adalah pementasan mak yong patuh syariah dan permainan wayang kulit.

Pengunjung, Mek Yam Mohamad, 59, berkata, penganjuran FKRK itu sememangnya dinantikan dia dan keluarga kerana ia adalah peluang terbaik untuk melihat kembali permainan warisan masyarakat negeri berkenaan.

Ini kerana katanya, golongan muda hari ini kebanyakannya kurang terdedah kepada warisan tradisional itu.

"Apabila mengetahui mengenai penganjuran festival ini, saya terus mengajak ahli keluarga untuk datang.

"Memang meriah kerana banyak acara menarik disediakan kepada pengunjung.

"Ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan budaya warisan tradisional masyarakat negeri ini kepada pengunjung luar," katanya.

PERSEMBAHAN gendang ‘Ritma Kelantan’.
PERSEMBAHAN gendang ‘Ritma Kelantan’.

Dalam pada itu, pelbagai acara menarik disediakan sepanjang tiga hari festival diadakan antaranya sukan rakyat, memanah, larian sarung, pertandingan memancing dan memasak 'Jeliro Kelantan Bersama Adabi.'

Selain itu, pertunjukan kereta antik dan pertandingan 'biri-biri Jangok ' antara acara yang menjadi tarikan utama dengan 80 biri-biri dipertandingkan mengikut kriteria masing-masing.

Pertandingan yang dianggap unik itu terbuka kepada empat kategori iaitu anak dan tiga lagi untuk kategori dewasa berdasarkan usia haiwan berkenaan.

Peserta, Mohd Hasip Abdul Rajab, 32, turut membawa seekor biri-biri jantan kesayangannya yang dinamakan 'Pablo Escobar' untuk dipertandingkan.

Meskipun gagal mengekalkan kejuaraan, biri-biri jantannya yang berusia tiga tahun itu berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Salin 6 (merujuk kepada usia haiwan) sekali gus sudah cukup menggembirakannya selain dapat berjumpa rakan yang mempunyai minat sama.

"Pertandingan sebegini sentiasa dinantikan kerana selain dapat menjalinkan hubungan silaturahim, kami juga dapat bertemu rakan yang memiliki hobi yang sama dan berkongsi tip mengenai penjagaan biri-biri masing-masing," katanya.

ANTARA peserta yang bertanding dalam pertandingan Mr Abe Klate.
ANTARA peserta yang bertanding dalam pertandingan Mr Abe Klate.

Selain itu, pertandingan bina badan, 'Mr Abe Klate' turut mencuri tumpuan apabila kehadiran 15 jejaka 'sado' di pentas peragaan tampil dengan gaya masing-masing bagi merebut gelaran juara.

Sementara itu, Mohd Izzul Islam Abdullah, 26, dari Kampung Kedai Lalat, Bachok berkata, penyertaannya kali ini lebih istimewa kerana turut disertai adiknya, Mohd Nor Aiman, 24.

"Saya sudah menyertai pertandingan bina badan seperti ini (sebelum ini) iaitu pertandingan 'Awang Selamat' dan hanya memenangi sagu hati.

"Kali ini, rasa lebih 'special' kerana adik turut menyertai pertandingan berkenaan dan ia adalah penyertaan kali pertamanya untuk mencuba nasib selain menimba pengalaman," katanya.

Menariknya, acara penutup FKRK 2023 disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan gendang 'Ritma Kelantan' iaitu gabungan irama tradisional yang dipersembahkan dengan alat muzik tradisional seperti rebana kercing, kertuk, tabla, gendang, serunai, rebana ubi dan gedombak, mewakili pelbagai etnik di negeri itu.

Turut mencuri perhatian adalah pertandingan dikir barat membabitkan empat pasukan yang bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, rakyat Kelantan bangga kerana memiliki seni warisan dan kebudayaan yang sangat unik.

Kata beliau, penganjuran acara kebudayaan dalam pelbagai bentuk sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Ia mencerminkan kita memiliki budaya unik dan jika dibiarkan begitu sahaja, dikhuatiri, lama kelamaan ia akan pupus.

"Ini kerana untuk membina budaya bukanlah mengambil masa dua hari sahaja malah beratus dan ribuan tahun.

"Namun untuk membinasakan budaya tidak memerlukan masa yang lama lebih-lebih lagi jika tiada penganjuran program yang mampu melestarikannya," katanya.

PERTUNJUKAN kereta antik yang mencuri tumpuan.
PERTUNJUKAN kereta antik yang mencuri tumpuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 7:00 AM