SANTAI ala tepi pantai.
SANTAI ala tepi pantai.
Nurul Husna Mahmud

Hujung minggu memberi ruang kepada peminat hidangan dan restoran unik menjejaki lokasi baharu di sekitar Lembah Klang.

Pencinta makanan juga tidak kisah memandu dua hingga tiga jam demi menjadikan pengalaman mencari sajian yang memiliki profil rasa dan visual unik sebagai misi penting.

Tidak lupa juga, konsep atau pemandangan di 'port' menyajikan hidangan unik penting dalam melengkapkan lagi pengalaman sepanjang menikmati sajian terbabit.

Kebelakangan ini, kafe atau konsep restoran dalam ladang menjadi trend pilihan ramai orang untuk menikmati sajian bersama keluarga atau kenalan.

Bukan sahaja tertarik dengan sajian ditampilkan senada dengan latar tanaman dalam ladang itu, malah susun atur atau suasana tanaman menjadi pakej menarik terutama untuk bergambar.

Lebih penting momen mengunjungi lokasi itu dapat dikongsikan dalam akaun media sosial masing-masing.

Seperti percutian singkat, mengunjungi konsep kafe atau restoran dalam ladang sebegini juga dapat membantu menenangkan diri tanpa perlu bersusah payah merentas hutan atau berkhemah.

Menikmati sajian dengan panorama hijau ladang dengan suasana redup bagaikan terapi selain menyegarkan minda.

Berikut antara lokasi untuk pengunjung yang mahu menikmati sajian dengan konsep bersantai dalam ladang:

1) Destinasi makan dalam ladang buluh

Untuk anda yang gemarkan pengalaman seperti berada dalam taman ala oriental di Jepun atau Korea yang dipenuhi buluh, boleh mengunjungi D'Rebung@Bungharis. Lokasi ini mampu memberi aura yang sama.

Cumanya sajian ditampilkan lebih sinonim dengan etnik Melayu tempatan iaitu masyarakat Jawa yang menghuni Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Sepang, Selangor apabila menyajikan nasi ambeng.

Mereka yang ingin cuba menikmati sajian masyarakat Jawa itu boleh menikmati sama ada sajian nasi ambeng ayam ungkep (berempah) atau nasi bancaan.

Tidak lupa juga sajian kampung rebung masak lemak selain menu belulang sambal tahun antara juadah jarang jumpa boleh dinikmati di sini.

2) Destinasi makan dalam ladang nanas

Jika di Cameron Highlands, Pahang pengunjung menikmati skon dan jem sambil menghirup teh dengan panorama teres pokok teh.

Berlainan pula di 'port' makan Saudagar Nanas Agrofarm yang terletak di Kajang, Selangor ini. Lokasi ini menawarkan pemandangan lereng bukit dipenuhi pokok nanas.

PEMANDANGAN seperti destinasi tanah tinggi popular.
PEMANDANGAN seperti destinasi tanah tinggi popular.

Redupkan pandangan mata anda dengan pemandangan menghijau sambil menikmati makanan berasaskan nanas.

Boleh cuba skon jem nanas, nasi goreng nanas, karipap berintikan nanas dan aiskrim nanas.

3) Destinasi makan dalam kawasan landskap pokok kelapa

Suasana berada di Kelapa Seafood Tanjong Karang, Selangor ini membuatkan pengunjung boleh menikmati suasana ala Carribean, tetapi lebih ketimuran dengan sajian cita rasa tempatan.

Hanya perlu memandu satu jam 30 mimit perjalanan dari Kuala Lumpur, lokasi ini sesuai dikunjungi bersama keluarga dan kenalan kerana konsep banyak pilihan gerai dan ruang makan terbuka.

Uniknya, terdapat menu sesuai dengan konsep iaitu jeli kelapa dan air kelapa selain makanan laut untuk dinikmati.

SAJIAN sepadan dengan suasana atau konsep restoran.
SAJIAN sepadan dengan suasana atau konsep restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 6:31 AM