MOHD Noorhardy bangga dapat jayakan bisnes pelancongan agro.
MOHD Noorhardy bangga dapat jayakan bisnes pelancongan agro.
Nor Hairulnizam Wahid


TIDAK keterlaluan apabila dikatakan pusat pelancongan agro di Sungai Merab, Selangor ini disifatkan syurga pencinta nanas.

Sebaik tiba di pintu masuk, anda akan disajikan dengan saujana pemandangan hijau rimbunan pokok nanas yang melatari suasana, namun tarikannya tidak terhenti di situ.

Pemanduan mendaki bukit kemudian membawa pengunjung ke kafe yang pastinya akan membuatkan mereka terpesona dengan pemandangan sekitar Bangi yang boleh dilihat dari kawasan itu.

Tidak cukup dengan itu, rasai keenakan aneka produk berasaskan nanas seperti karipap nanas, nasi lemak sambal nanas, jus nanas dan pelbagai pemanis mulut daripada buah berkenaan.

Bagi pemiliknya, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain, 42, Saudagar Nanas Agrofarm memenuhi impian untuk menjadikan nanas sebagai sebuah produk pelancongan agro meskipun dia tidak memiliki latar belakang dalam bidang pertanian.

Semuanya bermula apabila tindakannya berhenti kerja untuk memulakan perniagaan tidak membuahkan hasil sebelum mengambil keputusan menjual nanas pada 2017.

"Saya bermula dengan menjual nanas milik orang dan menumpang kedai orang selain untungnya saya bayar kemudian. Kemudian saya belajar pemasaran sedikit demi sedikit dan akhirnya meminjam lori ayah untuk menjualnya secara borong.

NANAS segar dari ladang.
NANAS segar dari ladang.

"Malah saya hantar ke seluruh kawasan Lembah Klang, jual di pasar tani dan di tepi jalan, kemudian berkembang dengan menjual benih ke Sabah serta Sarawak," kata graduan bidang Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini.

Jelasnya, setahun kemudian dia bertekad mengusahakan sendiri tanaman berkenaan dan mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan benih daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Motivasi mengusahakan produk pelancongan hanya hadir ketika Mohd Noorhardy melawat ke Abang Strawberry di Cameron Highlands, Pahang pada tahun sama apabila ia menawarkan rangkaian produk strawberi.

"Jika dia ada strawberi, saya pula mempunyai pelbagai produk nanas seperti karipap nanas, nanas goreng, jus nanas dan pelbagai produk hiliran berasaskan nanas yang boleh dijual di kafe. Sejak itu saya menanam azam untuk terbabit dalam agro pelancongan," katanya.

Menurutnya, untuk memastikan pusat agro pelancongan itu mampu menarik pengunjung, dia mengkaji konsep yang terdapat di beberapa tarikan agro pelancongan tempatan yang lain dan Indonesia.

Hasil pengamatannya, setiap produk pelancongan agro yang berjaya mempunyai tiga ciri iaitu lokasi dengan pemandangan menarik, mencipta banyak tarikan untuk bergambar dan mempunyai produk yang berasaskan bahan sama.

Pada masa sama menurut Mohd Noorhardy, pembukaan pusat pelancongan agro itu juga memberi kesempatan kepadanya berkongsi rezeki dengan usahawan yang mengeluarkan produk berasaskan nanas.

"Dalam seminggu, saya hanya dapat tuai satu tan nanas, tetapi kami perlukan lima hingga enam tan jadi untuk itu saya membelinya daripada rakan lain dan menjualnya di sini.

SULUR nanas dijual bagi yang ingin menanamnya di rumah.
SULUR nanas dijual bagi yang ingin menanamnya di rumah.

NANAS hiasan jenis bromeliad turut ditanam.
NANAS hiasan jenis bromeliad turut ditanam.

"Karipap nanas ini pula adalah produk buatan sendiri daripada usahawan berhampiran dan kami menerima bekalan 3,000 biji seminggu, begitu juga dengan bekalan sambal nanas, kerepek serta aiskrim nanas.

"Permintaan tertinggi yang lain termasuk rangkaian pastri berasaskan nanas seperti kek keju nanas, tart keju nanas, kek cawan nanas dan kek 'japanese puff' nanas. Hakikatnya bukan semua benda kita boleh buat dan di sini, kita berkongsi rezeki," katanya.

Bagi yang berminat untuk menanam sendiri nanas di rumah, pusat pelancongan agro itu urut menjual sulur nanas, selain buah nanas yang baru dipetik untuk dibawa pulang.

Mengenai perancangan masa depannya, Mohd Noorhardy berhasrat membina sebuah kilang mini bagi membolehkan pengunjung menyaksikan sendiri nanas diproses untuk dijadikan jus dan nanas goreng.

"Bagi pengunjung cilik pula, saya akan dirikan sebuah zoo mini sebagai tarikan keluarga bagi membolehkan mereka bermain dan bergambar dengan haiwan sambil menikmati suasana di sini," katanya yang akan terus 'berkarya' bagi memastikan pembangunan di ladang itu berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 6:43 AM