SET Ramadan Iftar Platter bakal memenuhi peminat sajian daging. - FOTO Hazreen Mohamad
SET Ramadan Iftar Platter bakal memenuhi peminat sajian daging. - FOTO Hazreen Mohamad
HM Digital

MENU daging antara pilihan yang kerap dinikmati ketika berbuka puasa sama ada dalam bentuk sajian berkuah atau pun dipanggang.

Bagi anda yang gemarkan kelainan dalam pilihan hidangan selain kambing golek kerap sebagai juadah berbuka, seleksi Ramadan Iftar Platter antara yang ditampilkan Menate Steak Hub.

Restoran yang terkenal dengan penyediaan hidangan stik daging premium, menampilkan konsep dalam set platter atau hidangan lengkap bermula RM90 sehinggalah RM120 seorang.

Menariknya mengenai pilihan set platter ini ialah kreativiti dan inovasi ditampilkan cef yang mempelbagaikan menu daging untuk pelbagai sajian.

Seperti dalam set Heavenly Me'nate, pengunjung restoran itu boleh menikmati sajian wagyu yang dipanggang tetapi masih terlerai lembut dari tulang.

HIDANGAN daging wagyu turut disajikan dalam seleksi Heavenly Me’nate. - FOTO Hazreen Mohamad
HIDANGAN daging wagyu turut disajikan dalam seleksi Heavenly Me’nate. - FOTO Hazreen Mohamad

Semua sajian itu bermula dengan pembuka hidangan sehinggalah ke sajian utama iaitu nasi beriani yang begitu enak dinikmati walaupun tanpa perlu lauk sampingan.

Untuk meraikan kemeriahan suasana berbuka bersama kenalan dan keluarga, setiap set platter khas untuk lima orang sekurang-kurangnya.

Dalam pada itu, mereka yang menikmati sajian Ramadan Iftar Platter juga turut boleh menikmati sajian mini bufet yang turut menghidangkan pelbagai sajian sampingan dan pemanis mulut.

Tidak terkecuali, bubur dan juga hidangan kuih-muih tempatan untuk dinikmati peminat sajian manis.

Istimewa untuk Ramadan kali ini juga terdapat set Couple atau untuk anda yang datang bersama pasangan dengan RM110 sahaja.

Semua set ini ditawarkan di semua 13 cawangan termasuk terbaharu di Sunway Putra Mall Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 6:46 AM