Abdul Malik memetik buah nanas di Ladang Alor Bukit, Pekan Nanas, Pontian.
Abdul Malik memetik buah nanas di Ladang Alor Bukit, Pekan Nanas, Pontian.
Togi Marzuki


BEBERAPA tahun lalu, bekas perunding kewangan sebuah bank di Kuala Lumpur, Iskandar Zulkarnain Abdul Wahid, 42, nekad berhenti kerja untuk menjadi pengusaha tanaman nanas di sini.

Pengorbanan Iskandar Zulkarnain berbaloi kerana kini, rezekinya semakin bertambah.

Menurut Iskandar Zulkarnain, dia mula terbabit dengan projek Kluster Nanas Lestari (KNAL) kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya mendapat banyak bantuan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

berkaitan kaedah penanaman nanas dan pelbagai lagi.

“Alhamdulillah, hasilnya saya mampu memperoleh purata RM40,000 bagi setiap pengeluaran nanas secara berperingkat,” katanya.

Iskandar Zulkarnain ditemui pada penyerahan insentif projek premium KNAL di Alor Bukit, Pekan Nanas di sini.

Insentif diberi kepada 16 peserta itu diserahkan oleh Pengerusi LPNM Abdul Malik Abdul Kassim.

Semua petani berkenaan turut menerima sebuah khemah, stor menyimpan barang dan bekalan benih nanas MD2 dengan jumlah keseluruhan RM4.8 juta.

Petani menjalankan kerja memetik buah nanas di Ladang Alor Bukit, Pekan Nanas Pontian.
Petani menjalankan kerja memetik buah nanas di Ladang Alor Bukit, Pekan Nanas Pontian.

Selain itu, setiap petani turut berpeluang menanam benih nanas berkenaan di tanah berkeluasan 4.04 hektar yang disediakan LPNM.

Menurut Iskandar Zulkarnain, musim menuai nanas antara 12 hingga 14 bulan, bergantung kepada keadaan cuaca.

“Walaupun bidang pertanian berbeza dengan situasi di pejabat selain perlu berpanas dan berhujan, namun ia memberi kepuasan dalam melaksanakan tugas berkaitan.

“Penanaman nanas bukan saja membantu meningkatkan hasil pengeluaran negara malah buah ini juga ada pelbagai kegunaan.

“Daunnya boleh dijadikan benang manakala kulit boleh digunakan sebagai palet haiwan ternakan,” katanya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malik, berkata, projek KNAL merupakan inisiatif LPNM dalam usaha menyusun kawasan penanaman nanas.

“Selain itu, ia dapat mewujudkan kawasan tanaman nanas secara kekal dan pada masa sama meningkatkan tanaman agromakanan.

“Peserta mampu memperoleh pendapatan lumayan dan pada masa sama, melahirkan usahawan muda terutamanya kategori B40, " katanya.

Abdul Malik berkata, LPNM bercadang untuk memperluaskan lagi projek KNAL dengan konsep sama di negeri lain kerana permintaan nanas MD2 terus meningkat.

“Konsep KNAL berdasarkan projek pertanian berkelompok yang diusahakan secara berkumpulan dengan kaedah lebih cekap berbanding dibuat secara individu,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 5:51 PM