Fairul Asmaini Mohd Pilus


Biasanya, setiap kali tiba musim tengkujuh, pulau peranginan di pantai timur ditutup kerana cuaca buruk selain ombak besar.

Namun, musim tengkujuh baru-baru ini membawa perubahan menarik kepada Pulau Perhentian apabila program Surf Perhentian 2021 diadakan buat julung kalinya di sepanjang Long Beach, Perhentian Kecil.

Penggemar sukan luncur ombak dari seluruh negara berkunjung ke Long Beach sempena program kem luncur ombak, Surf Perhentian dan festival yang berlangsung pada 26 hingga 28 November tahun lalu.

Seramai 100 peserta kem luncur, peluncur professional, sukarelawan dan kru penganjur berkampung di pulau itu sepanjang program diadakan.

Ia dianjurkan Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian (5P) dan dihoskan Harrera Perhentian.

Program itu juga mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu serta Persatuan Peluncur Ombak Malaysia (PLOM).

SESI taklimat untuk asas meluncur ombak.
SESI taklimat untuk asas meluncur ombak.

Ia dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara, termasuk vaksinasi Covid-19 yang lengkap diwajibkan terhadap semua peserta.

Acara luncur ombak yang pertama dianjurkan di Pulau Perhentian itu diadakan bertujuan untuk mempromosikan pulau berkenaan sebagai lokasi luncur ombak baharu di Malaysia.

Pada masa sama, ia juga diharapkan dapat menarik minat komuniti peluncur dan pengunjung lain untuk ke pulau itu sepanjang musim rendah pengunjung iaitu antara Oktober hingga Mac setiap tahun.

Ini kerana, kekurangan pelancong ketika musim tengkujuh menyebabkan kebanyakan pengusaha pelancongan di pulau itu terpaksa menghentikan operasi sepanjang musim.

ANTARA penggemar sukan luncur ombak yang menyertai Surf Perhentian 2021.
ANTARA penggemar sukan luncur ombak yang menyertai Surf Perhentian 2021.

Justeru, melalui acara seperti Surf Perhentian, diharapkan pengusaha pelancongan di pulau itu dapat menjana pendapatan ekonomi pada musim tengkujuh.

Ia juga bagi menyokong pemulihan ekonomi Pulau Perhentian yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Surf Perhentian akan menjadi pemangkin kepada banyak perubahan untuk aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian.

AKSI peserta cilik meluncur ombak.
AKSI peserta cilik meluncur ombak.

"Kerajaan negeri menghargai kerjasama itu dan berharap untuk melihat lebih banyak program mempromosikan pulau yang indah ini dapat dianjurkan pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian, Rafizah Munir berkata, pihaknya turut mengalu-alukan inisiatif pelancongan seperti itu kerana dapat meningkatkan ekonomi pulau berkenaan.

"Ia bukan sahaja dapat memberi impak ekonomi yang positif malah turut membantu mempromosikan seni dan budaya tempatan yang juga sebahagian daripada warisan Terengganu.

PROGRAM tiga hari Surf Perhentian 2021 dipenuhi pelbagai aktiviti menarik termasuk kem meluncur ombak.
PROGRAM tiga hari Surf Perhentian 2021 dipenuhi pelbagai aktiviti menarik termasuk kem meluncur ombak.

"Dengan adanya acara Surf Perhentian, pulau ini tidak akan 'mati' lagi ketika musim tengkujuh," katanya.

Sementara itu, sepanjang tiga hari program diadakan, peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik.

Pada sebelah siang, pengunjung boleh menyertai kem meluncur ombak dan bermain bola tampar atau bola sepak pantai.

Manakala pada sebelah malam, pengunjung dihiburkan dengan pertunjukan api istimewa oleh anak-anak muda penduduk asal pulau berkenaan.

Bagi yang ketinggalan menyertai Surf Perhentian sebelum ini, jangan risau kerana edisi kedua dijangka diadakan pada 4 hingga 6 Mac ini.

Jadi, kepada penggemar sukan luncur ombak ayuh ke Pulau Perhentian untuk merasai sendiri pengalaman yang tiada galang gantinya.

Ini kerana musim meluncur ombak di negara ini agak terhad berbanding Indonesia, Thailand dan Filipina yang mempunyai musim ombak hampir sepanjang tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 7:00 AM