Baharom Bakar


Kuala Nerus: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mempertimbangkan penyediaan perkhidmatan bot ambulans di beberapa pulau di kawasan pedalaman Sabah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, Jabatan Kesihatan Sabah membuat permohonan untuk perkhidmatan itu terutama bagi membawa pesakit dari pulau ke hospital.

Katanya, penilaian lanjut sedang dilakukan sebelum perkhidmatan dapat disediakan.

"Bagi Sarawak, perkhidmatan bot ambulans tidak diperlukan kerana negeri itu tidak mempunyai pulau.

"Jika ada kecemasan terutama penduduk di kawasan pedalaman, kita akan menggunakan perkhidmatan helikopter untuk membuat penerbangan membawa pesakit ke hospital," katanya kepada media selepas merasmikan Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian dan Redang di Jeti Duyong Marina di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Bahagian Kesihatan), Datuk Dr Norhayati Rosli dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong.

Mengenai bot ambulans di Terengganu, Lukanisman berkata, purata penghantaran pesakit menerusi perkhidmatan itu bagi Klinik Kesihatan Pulau Redang adalah sebanyak ,15 kes, manakala enam kes di Pulau Perhentian.

Menurutnya, perolehan dua bot itu membabitkan peruntukan RM1.4 juta dan ia akan menggantikan bot sedia ada yang sudah berusia lebih 13 tahun.

"Bot ambulans baru itu mampu memuatkan 12 penumpang dan sesuai digunakan untuk musim tengkujuh," katanya yang memaklumkan Pusat Penyelarasan Kecemasan Perubatan (MECC) akan melakukan koordinasi rujukan kes sekiranya tiada bot ambulans.

LUKANISMAN (tengah) bersama delegasi kesihatan bergambar di atas Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian, berlatarbelakangkan Jambatan Angkat Terengganu.  FOTO Ghazali Kori.
LUKANISMAN (tengah) bersama delegasi kesihatan bergambar di atas Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian, berlatarbelakangkan Jambatan Angkat Terengganu. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 7:29 PM