PELBAGAI pilihan makanan dari Thailand yang dijual di Rantau Panjang.
PELBAGAI pilihan makanan dari Thailand yang dijual di Rantau Panjang.
Hartini Mohd Nawi


BEBERAPA kali perancangan untuk ke Rantau Panjang tergendala dek kurang kelapangan masa. Ditambah dengan penularan pandemik Covid-19, hasrat itu terpendam begitu saja.

Cuma baru-baru ini walaupun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penulis dan keluarga berkunjung juga ke zon bebas cukai itu.

Menyingkap sejarah Rantau Panjang, destinasi popular dalam dan luar negara itu adalah sebuah pekan yang bersempadan antara Malaysia serta Thailand selain terletak di utara Kelantan dalam kawasan barat jajahan Pasir Mas.

Ia berada 39 kilometer di barat daya bandar Kota Bharu dan terletak berhampiran dengan Sungai Golok, Thailand.

Jumlah penduduk mengikut bancian pada 2015 adalah seramai 96,975 orang.

Keunikan dan kepelbagaian barangan di Rantau Panjang membuatkan ia sering menjadi destinasi pilihan ditambah harga yang berpatutan dan berbaloi berbanding tempat lain.

Bertolak awal pagi dari Besut, Terengganu sambil sarapan dalam perjalanan memberikan pengalaman menarik. Sudah tentu nasi dagang dan teh tarik adalah pilihan kami.

PENGUNJUNG teruja dengan barangan yang dijual.
PENGUNJUNG teruja dengan barangan yang dijual.

TIDAK lengkap ke Rantau Panjang jika tidak membeli 'asam' dalam botol ini.
TIDAK lengkap ke Rantau Panjang jika tidak membeli 'asam' dalam botol ini.

ANTARA periuk bercorak dan berwarna yang dijual dan membuatkan pengunjung rambang mata.
ANTARA periuk bercorak dan berwarna yang dijual dan membuatkan pengunjung rambang mata.

Lebih kurang satu jam, kami akhirnya sampai dan didapati tidak banyak kedai beroperasi. Anggapan awal, banyak kedai tutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, sebaik menatap jam di tangan, rupanya kami sampai awal. Patutlah banyak kedai belum buka. Semangat sungguh!

Kelihatan deretan kenderaan terutama motosikal dengan nombor pendaftaran negara jiran iaitu Thailand kian memenuhi ruang parkir.

Sempat juga penulis merakam beberapa momen indah pagi itu. Ada yang sibuk membuka kedai, ada yang menolak gerai 'bergerak' sebelum mengambil tempat berniaga di kiri dan kanan jalan.

Lebih kurang jam 10 pagi semua kedai dibuka dan deretan kedai yang menjual pakaian adalah yang pertama kami tuju.

Kedai yang menjual pelbagai jenis biskut antara yang turut menarik perhatian. Apatah lagi pembungkusan klasik iaitu dalam tin 'dulu-dulu' membuat ia nampak unik dan tentunya mencuri minat terutama ayah dan ibu penulis.

Itu belum lagi gaya susunan tin yang menampakkan biskut dari jauh begitu mencuit selera.

Berjalan ke kawasan yang menjual pelbagai makanan, di situ terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Rambang mata dibuatnya!

Dari buah-buahan, sate ikan, keropok lekor hingga minuman melazatkan, semuanya mampu melunturkan diet pada hari itu.

Harga setiap makanan juga berpatutan, jadi Rantau Panjang bukan saja destinasi membeli-belah pakaian, malah boleh dikatakan antara syurga makanan.

Bagi yang ingin mencuba mi segera Thailand, boleh saja menikmatinya kerana ada ditawarkan di situ. Ruang santai atau rehat yang disediakan pula penuh dengan pelbagai gelagat pengunjung.

Ada yang sekadar melepaskan penat, ada yang menjamu selera sambil santai, ada yang memegang mangkuk melayan 'maggi Thailand.'

Tidak lengkap kunjungan ke Rantau Panjang jika tidak membawa pulang atau merasa mempelam 'harumanis' Thailand.

Puas mencuba makanan dan membeli-belah, pada sebelah petangnya kami beredar dari situ.

KEUNIKAN rumah agam ini mencuri perhatian kami.
KEUNIKAN rumah agam ini mencuri perhatian kami.

PENULIS (tengah) merakam kenangan bersama ibu dan ayah ketika di Rantau Panjang.
PENULIS (tengah) merakam kenangan bersama ibu dan ayah ketika di Rantau Panjang.

Dalam perjalanan pulang ketika melewati Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, kami singgah di rumah agam pengusaha Dodol & Serunding Hajah Wan Sabariah.

Dari jauh sudah kelihatan tersergam indah rumah agam tiga tingkat yang sarat dengan seni bina unik itu.

Pintu pagar, tiang rumah, dinding dan bumbung, semua diukir dengan corak tersendiri yang berwarna emas menjadikan rumah agam itu seolah-olah sebuah istana mewah.

Alang-alang singgah, rugi rasanya tidak mencuba dan membeli pelbagai jenis dodol dan serunding yang dijual di perkarangan rumah itu.

"Boleh tahan juga rasa dodol ni!," bisik hati penulis sebaik mencuba dodol di situ.

Sambil membeli dodol, tangan penulis tidak lepas memetik lensa telefon bimbit kerana kagum dengan seni bina banglo itu. Bukan saja penulis, malah semua pelanggan yang berkunjung pasti merakam momen indah di situ.

Perjalanan pulang juga disajikan dengan pelbagai pemandangan indah sawah padi menghijau. Sungguh, Kelantan juga punyai keunikan pelancongan tersendiri!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:00 AM