Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang kini tersenyum lega apabila pusat membeli-belah itu sudah mula didatangi pengunjung selepas kebenaran merentas daerah diumumkan kerajaan sejak kelmarin.

Tinjauan ke lokasi berkenaan semalam mendapati kebanyakan premis jualan sudah beroperasi selain suasana meriah dengan banyak kenderaan keluar masuk berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Malah kebanyakan peniaga mengakui teruja dan tidak kurang juga yang menyamakan situasi berkenaan seperti menjelang hari raya kerana pengunjung ramai datang untuk membeli-belah pelbagai barangan.

Peniaga Muhammad Afiq Farhan Saipuddin, 32, berkata, dia kini mampu menghela nafas lega apabila perniagaan yang ditutup sejak hampir sebulan kini kembali beroperasi selain menerima pelanggan yang agak ramai sejak kebenaran merentas daerah dilaksanakan.

"Bermula 5 Mac, pekan ini dikunjungi ramai orang bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah dari daerah lain seperti Kota Bharu, Tanah Merah dan Kuala Krai yang datang dengan pelbagai tujuan.

"Jualan beg dan pakaian di kedai saya juga agak memuaskan sekali gus mengurangkan kebimbangan sebelum ini kerana risau jika barangan rosak atau ketinggalan zaman menyebabkan ia tidak lagi menjadi pilihan pelanggan.

"Sekarang Rantau Panjang kembali bernafas dan semua jenis kedai dibuka seperti premis jualan baju, kasut, barang permainan, anak patung, kedai makan dan gerai tepi jalan," katanya ketika ditemui di kedainya di Pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Sementara itu, pengunjung Auni Aqilah Ghaffar, 26, berkata, dia datang ke pekan terbabit bersama dua rakannya bagi membeli-belah.

Muhammad Afiq sedang menyusun beg yang dijual di kedainya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Muhammad Afiq sedang menyusun beg yang dijual di kedainya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

"Kami sampai pada jam 10 pagi dan ketika itu keadaan masih lengang, namun beberapa jam kemudian, lebih banyak kereta masuk ke kawasan ini menyebabkan jalan sedikit sesak.

"Bagaimanapun saya dan rakan tetap berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengelak kemungkinan dijangkiti wabak penyakit.

"Kami gembira berpeluang mengunjungi tempat ini selain dapat membeli pakaian dengan harga murah dan menikmati makanan ala Thailand yang menyelerakan dan sukar didapati di tempat lain," katanya yang berasal dari Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 5:11 PM