PANORAMA ‘awan karpet’ dari atas Bukit Panorama yang memukau.
PANORAMA ‘awan karpet’ dari atas Bukit Panorama yang memukau.
Asyraf Maskan

MENGIMBAU kembali percutian penulis dari Johor ke Terengganu, ia sesuatu yang unik untuk dikenang.

Meskipun hanya dalam negara, ia tidak kurang kisah menarik, malah lebih indah memori itu diisi bersama keluarga tercinta.

Perjalanan memakan masa sekitar dua jam dari Johor Bahru ke bandar Mersing tidak terasa jauh kerana penulis tak henti berbual. Apatah lagi melayan celoteh dua anak saudara.

Jarang sekali dapat begini. Sengaja penulis menutup radio dan membiarkan cermin pintu kereta sedikit terbuka untuk menjemput masuk udara pagi yang segar dan menikmati suasana sepanjang perjalanan cukup tenang.

Misi pertama, usai solat Subuh pada Jumaat itu adalah mengisi perut sebelum menempuh lima jam lagi perjalanan dari Mersing ke Sungai Lembing, Pahang.

Boleh dikatakan penulis sekeluarga cukup beruntung dapat menikmati roti jala bersama semangkuk kuah kari yang memanggil-manggil.

PENULIS bergambar berlatar belakang pemandangan Gua Charas.
PENULIS bergambar berlatar belakang pemandangan Gua Charas.

BAPA penulis sedang melayan cucu di tebing sungai Kampung Pasir Kubur.
BAPA penulis sedang melayan cucu di tebing sungai Kampung Pasir Kubur.

Sebaik tiba di pekan Mersing ketika itu sunyi bagai pekan koboi. Tenteram seperti yang penulis dambakan. Mungkin juga kerana hari itu adalah Jumaat.

Walaupun cuma sekadar pondok kecil di tepi pantai Mersing, warung sarapan yang 'tawaduk' ini cukup memberikan pengalaman berharga buat penulis sekeluarga pada pagi yang mendung kelabu itu.

Justeru, tidak salah jangkaan bahawa warung tepi jalan yang kelihatan sederhana selalunya menghidangkan menu paling lazat.

Selepas itu, penulis sekeluarga bergegas ke kereta kerana tidak sabar untuk menyambung perjalanan.

Memandu pada awal pagi adalah suasana yang paling sesuai berbanding terpaksa menempuh silau sinaran matahari tegak di kepala dan bahang panas permukaan jalan.

Melewati pekan Rompin dan Tanjung Gemok, tempat berlabuhnya feri dan kapal nelayan ke Pulau Tioman khususnya selain pelabuhan feri utama di Mersing.

Beberapa kedai kecil di tepi pantai pasti memberikan pengalaman berbeza bagi penulis kerana setiap kali ke sini, pasti ada jualan makanan berbeza namun lempeng kelapa di pantai Rompin ini tetap menjadi makanan utama sejak dulu.

Dari Rompin, penulis memasuki sebuah daerah yang terkenal dengan jolokan bandar diraja, Pekan.

Secara jujur, tidak banyak yang penulis tahu mengenainya, tetapi seperti biasa 'bandar diraja' dihiasi bangunan istana diraja serta masjid diraja yang sarat segala keistimewaan seni bina.

ANTARA daya tarikan di Sungai Lembing yang mempunyai banyak tersimpan sejarah perlombongan biji timah.
ANTARA daya tarikan di Sungai Lembing yang mempunyai banyak tersimpan sejarah perlombongan biji timah.

Pertama kali penulis singgah di Pekan dulu ialah ketika menumpang saudara untuk pulang ke Gebeng.

Ketika itu, penulis melalui jalan kampung pesisir pantai atau bakau menuju sebuah universti tempatan di Pekan yang juga 'sengaja' dibina di lokasi yang sering dikepung kumpulan lembu dan kerbau peliharaan.

Maka tidak terperanjat jika ternampak tompok-tompok tahi kerbau atau lembu atas 'pentas' Lebuhraya Pekan-Kuantan.

Sebaik tiba di jalan utama Lebuhraya Kuantan, belok ke simpang kanan selepas melewati Kem Askar, begitu jalan masuk ke Sungai Lembing.

Ia antara petunjuk jalan masuk utama. Meskipun menggunakan Waze, penulis merasakan lokasi ini sangat mudah ditemukan kerana banyak papan tanda berwarna coklat terpampang 'Sungai Lembing.'

Ini pertama kali penulis ke sini meskipun ketika ada sahabat yang menceritakan keindahan gumpalan awan di Bukit Panorama, Gunung Tapis, Air Terjun Pelangi dan Gua Charas.

Sebenarnya, Sungai Lembing lebih daripada itu kerana ia begitu sarat dengan kisah tamadun masyarakat lampau. Apatah lagi, keadaannya seperti pekan koboi yang begitu klasik.

Antaranya nama pam minyak di situ juga tidak pernah penulis dengar.

Pasti ada sejarah khusus pam minyak ini seperti seorang tokoh yang membangunkan pam minyak ini suatu masa dahulu dan berapa lama ia beroperasi.

Usai pemicu minyak kembali ke injap tutup secara automatik, penulis kembali memicu pedal minyak kereta untuk meneruskan perjalanan yang hanya tinggal sekitar 30 minit lagi.

Jalan ke dalam agak bengkang-bengkok dan beberapa selekoh tajam yang mungkin menguji sedikit pemanduan lebih-lebih lagi kalau rabun dan silau penglihatan.

Sebenarnya tidak sangka di Sungai Lembing ini terdapat sebuah masjid kerana melalui pembacaan, pekan kecil ini banyak dihuni masyarakat Cina.

SALAH satu pemandangan pekan Sungai Lembing yang klasik.
SALAH satu pemandangan pekan Sungai Lembing yang klasik.

Tidak pasti tahun berapa masjid ini didirikan, namun terasa aura klasik apabila melangkah dalam ruang utama solat selain kawasan sekitarnya terdapat deretan kediaman seni bina Inggeris berwarna putih berlatar belakang tebing tinggi dan satu sisi lagi Sungai Lembing yang mengalir tenang. Begitu malar segar.

Pengalaman menerokai terowong bijih timah sejauh 90 meter yang disediakan kepada pelancong juga antara sebuah memori tidak dapat dilupakan kerana setiap kali melalui belokkan, penulis dan keluarga disajikan dengan beberapa sudut yang sama, tetapi isi ruang yang berbeza.

Membawa anak kecil adalah masih sesuai di sini kena terdapat gerabak lama keretapi yang diubah suai boleh membawa pengunjung ke dalam terowong bijih timah.

Banyak sejarah yang dapat dipelajari sepanjang perjalanan ke dalam terowong.

Mungkin di sini tak hanya ruang masyarakat terdahulu membanting tulang, tetapi terisi dengan jiwa dan raga mereka demi keluarga tercinta.

Bahkan, setiap ruang runtuhan dan rekahan batuan itu seakan memilki ceritanya sendiri.

Berapa banyak tangan dan keringat yang membasahi ruang ini bersama beberapa bentuk geometri batuan keras.

Kira-kira satu kilometer dari pintu masuk Sungai Lembing terdapat sebuat gua batu kapur yang dikelilingi kebun kelapa sawit.

Rugi sekiranya ke Sungai Lembing, tetapi tidak mendaki Bukit Panorama.

Oleh kerana masih berbaki satu hari di sini, maka penulis mengambil kesempatan untuk naik dan melihat sendiri awan-awan karpet seperti yang dikatakan dalam media sosial.

Kampung Pasir Kubur terkenal dengan mi jawa terletak berhampiran dengan jambatan Sungai Lembing.

KEADAAN dalam lombong timah Sungai Lembing yang bersejarah.
KEADAAN dalam lombong timah Sungai Lembing yang bersejarah.

Sekitar 500 meter dari warung mi jawa terdapat tanah perkuburan Islam yang sebelahnya terdapat laluan masuk ke tebing berbatu sungai lembing.

Laluan batuan sungai ini sangat luas sehinggakan boleh diakses kereta tanpa perlu jalan kaki meredah belukar.

Tebing sungai yang luas ini juga sesuai untuk didirikan khemah untuk tujuan istirahat dan berpiknik.

Hanya penulis dan keluarga yang ada di situ pada awal pagi tiada pengunjung lain, menjadikan suasana agak privasi.

Pertama kali tiba di sini, air sungai begitu tenang. Air yang cetek paras betis sesuai untuk mereka yang membawa anak kecil.

Tetapi, terdapat bahagian yang dalam dan disarankan supaya lebih berhati-hati terutama ketika selepas hujan.

Pulang dari Pasir Kubur, penulis sekeluarga berehat di inap desa yang terletak berhadapan Masjid Sungai Lembing.

Rata-rata rumah lama di sini dijadikan tempat menginap bagi mereka yang berkunjung ke sini.

Ternyata tidak perlu mendambakan kisah di luar sempadan jika segala keindahan percutian ada dalam negara sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 7:01 AM