AIR Terjun Pelangi mempunyai ketinggian sekitar 50 meter.
AIR Terjun Pelangi mempunyai ketinggian sekitar 50 meter.
Hafiz Ithnin


TERNYATA terasa puas meskipun hanya dua hari satu malam berada di Sungai Lembing yang terletak di Kuantan, Pahang.

Bagi mereka yang berjiwa alam semula jadi, lokasi ini pada hemat penulis antara lubuk untuk bercuti dan merehatkan minda dengan penuh ketenangan.

Sebut sahaja aktiviti luar yang anda inginkan berkaitan alam semula jadi, semuanya ada di sini terutama membabitkan aktiviti sukan air dan pendakian.

Anda yang baru berjinak-jinak untuk mengenali percutian alam semula jadi juga disarankan untuk mengunjung lokasi yang penuh bersejarah ini.

Secara ringkasnya, Sungai Lembing pada era 1920 hingga 1950 amat terkenal sebagai lubuk pengeluaran bijih timah.

Malah, ia cukup maju sehinggakan di Muzium Sungai Lembing sendiri menceritakan betapa sibuknya lokasi itu sebagai lubuk perdagangan.

Walaupun kisah Sungai Lembing kini hanya menjadi sejarah tetapi bagi aktiviti percutian alam semula jadi, ia cukup menarik untuk dikunjungi.

Penulis bersama rakan-rakan Geng Bersatu Hati, yang sebenarnya terdiri daripada rakan-rakan setugas di unit editorial sudah lama merancang untuk mengunjungi Sungai Lembing.

PENGUNJUNG perlu melalui jalan denai untuk sampai ke Air Terjun Pelangi.
PENGUNJUNG perlu melalui jalan denai untuk sampai ke Air Terjun Pelangi.

PEMANDANGAN di Bukit Sunrise.
PEMANDANGAN di Bukit Sunrise.

Namun, akibat penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan Perintah Pergerakan Pergerakan (PKP), hasrat itu tertangguh sehingga setahun lebih lamanya.

Penantian itu untuk mengunjungi Sungai Lembing ternyata berbaloi kerana kami dihidangkan bukan sahaja panorama alam semula jadi yang menarik, malah terdapat pelbagai aktiviti lasak yang boleh dilakukan.

Bertolak dari Kuala Lumpur pada 12 tengah malam, perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam memandu sehingga ke Anjung Selera di Sungai Lembing ibarat tidak terasa kerana keterujaan kami untuk bertandang ke destinasi itu.

Seawal jam 6.15 pagi, penulis bersama rakan-rakan yang lain sudah bersedia untuk menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan untuk menuju ke Air Terjun Pelangi.

Untuk ke destinasi itu, pengunjung perlu menggunakan khidmat penunjuk arah tempatan dan mengambil pakej yang mereka sediakan. Kami menggunakan perkhidmatan Sungai Lembing Recreation untuk pakej ke Air Terjun Pelangi.

Sebelum menuju ke Air Terjun Pelangi, pengunjung akan dibawa ke Bukit Sunrise yang mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Bukit Sunrise menghidangkan panorama dari kaca mata burung yang menarik kerana pengunjung dapat melihat lapisan kawasan tinggi bersulam awan karpet yang sebenarnya adalah kabus tebal.

Usai berada sekitar 20 hingga 30 minit merakam gambar di Bukit Sunrise, penunjuk arah kami Mohd Dzamzury Hudda Mat Kassim membawa ke destinasi utama iaitu Air Terjun Pelangi.

Sepanjang perjalanan selama kira-kira 45 minit ke destinasi itu, Mohd Dzamzury yang cukup peramah bercerita pelbagai daya tarikan yang terdapat di Sungai Lembing terutama khazanah alamnya.

BERKELAH di Pasir Puteri menjadi kemestian di Sungai Lembing.
BERKELAH di Pasir Puteri menjadi kemestian di Sungai Lembing.

Untuk ke Air Terjun Pelangi, kenderaan pacuan empat roda tidak boleh memasuk terus ke kawasan itu. Justeru, memerlukan pengunjung untuk melalui jalan denai yang mengambil masa sekitar 45 minit.

Ternyata sebaik sahaja sampai di Air Terjun Pelangi, tersergam indah khazanah alam itu yang berketinggian sekitar 150 meter. Penulis dan rakan-rakan begitu leka untuk merakam gambar keindahannya.

Kami tiba agak awal sekitar jam 8 pagi dan ketika itu, elemen paling pentingnya belum lagi muncul iaitu pelangi yang merentasi kawasan air terjun.

Mohd Dzamzury berkata, waktu terbaik untuk melihat pelangi adalah pada jam sekitar 9.30 hingga 10.30 pagi kerana ketika itu cahaya matahari berada tegak di kawasan air terjun.

Sebaik sahaja pelangi menjelma, pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar pelbagai aksi berlatar belakangkan pelangi dan air terjun. Terasa cukup puas dan berbaloi!

Apatah lagi, penunjuk arah kami, Mohd Dzamzury yang sentiasa melayan untuk mengambil gambar dan mengetahui lokasi yang terbaik untuk beraksi!.

Katanya, selain daripada Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing mempunyai kawasan perkelahan di tepi sungai iaitu di Pasir Puteri yang turut kami mengunjunginya.

"Jika datang ke Sungai Lembing, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan selain ke Air Terjun Pelangi antaranya mendaki ke Bukit Panorama dan Gunung Tapis.

"Selain itu, pengunjung juga boleh berkayak sejauh kira-kira 12 kilometer dari Sungai Terapai ke Pasir Puteri dengan bayaran RM140 seorang. Aktiviti ini juga cukup popular dalam kalangan pelancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:00 AM