PERMAIDANI awan di Bukit Panorama.
PERMAIDANI awan di Bukit Panorama.
Hafiz Ithnin

MEMANDU hanya kurang lebih tiga jam dari Kuala Lumpur ke Sungai Lembing di Kuantan, Pahang ini lebih berbaloi apabila pelbagai aktiviti bersantai untuk mereka yang gemarkan suasana tenang berlatarkan alam semula jadi dan kisah sejarahnya.

Melihat gambar yang dikongsi Daya Kamarudin dan suaminya, Fadi Shamsudin di Facebook membuatkan penulis ingin mengunjungi lokasi itu pada hujung minggu ini.

Apatah lagi, kelihatan pelangi ibarat menjadi jambatan membelah laluan air terjun. Sangat Instaworty!

Berkongsi pengalamannya ke Sungai Lembing, Daya berkata, dia bersama suami dan rakan-rakannya sengaja memilih destinasi itu untuk percutian hujung minggu kerana bersandarkan pengalaman ke sana sebelum ini, ia sememangnya lengkap dengan pelbagai tarikan.

Katanya, pekan koboi di Pekan Sungai Lembing itu sendiri ibarat berada di sebuah era lama yang cukup 'sempoi' dan tidak sibuk dengan kenderaan serta hanya 'hidup' pada hujung minggu.

"Walaupun kami berlima mengunjungi Sungai Lembing pada hujung minggu, persekitarannya tidak begitu sibuk walaupun terdapat pelbagai tarikan seperti Muzium Sungai Lembing yang mempunyai sejarah sebagai destinasi terkaya bijih timah di Pahang.

KEINDAHAN Air Terjun Pelangi Sungai Lembing yang mengasyikkan destinasi menarik trip hujung minggu .
KEINDAHAN Air Terjun Pelangi Sungai Lembing yang mengasyikkan destinasi menarik trip hujung minggu .

"Malah, ekopelancongan di sekelilingnya juga agak meriah seperti terdapatnya Gunung Tapis, Air Terjun Pelangi, Bukit Sunrise dan mendaki ke Bukit Panorama yang menarik untuk melihat permaidani awan pada awal pagi," katanya.

Daya berkata, pada hari pertama mereka mengambil pakej untuk mengunjungi Air Terjun Pelangi yang terletak sekitar sejam dari Pekan Sungai Lembing.

"Bagi ke destinasi itu, pengunjung perlu menggunakan perkhidmatan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang disediakan banyak ejen pelancong tempatan dengan harga yang kami dapat ketika itu RM70 seorang.

"Kami bertolak sekitar jam 6 pagi kerana ingin melihat pemandangan alam semula jadi dari kawasan tinggi di Bukit Sunrise yang turut menjadi laluan ke Air Terjun Pelangi. Jadi bayaran dikenakan untuk pergi ke dua-dua lokasi," katanya.

Jelasnya, dari Bukit Sunrise mereka bergerak ke Lubuk Beruk iaitu tempat parkir bagi 4WD sebelum perlu berjalan melalui laluan denai yang mengambil masa 20 minit berjalan santai.

"Air Terjun Pelangi destinasi yang wajib untuk dikunjungi jika ke Sungai Lembing kerana pemandangannya yang sentiasa mempunyai pelangi membelah laluan air terjun dan jelas kelihatan dalam gambar.

BUKIT Sunrise yang menjadi persinggahan sebelum ke Air Terjun Pelangi.
BUKIT Sunrise yang menjadi persinggahan sebelum ke Air Terjun Pelangi.

AIR Terjun Pelangi yang indah dikelilingi hutan hijau yang masih segar.
AIR Terjun Pelangi yang indah dikelilingi hutan hijau yang masih segar.

"Pemandangan sekelilingnya juga masih indah menghijau. Ketika kami di sana, ramai pengunjung termasuk membawa anak-anak beriadah. Pada jam 10 atau 11 pagi adalah waktu terbaik untuk melihat dengan jelas pelangi di lokasi berkenaan," katanya.

Daya berkata, mengambil pakej daripada penyedia pelancongan tempatan juga berbaloi kerana mereka menyediakan pengangkutan selesa dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) untuk pelanggan yang menggunakan 4WD ke destinasi berkenaan.

"Walaupun sejam melalui jalan balak, tetapi tidak terasa kerana di belakang kenderaan itu disediakan tempat duduk beralas kusyen dan penyedia perkhidmatan pengangkutan juga tidak memuatkan ramai orang kerana perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

"Jadi ketika menikmati panorama hijau, kita juga tidak perlu risau untuk bersesak dengan pengunjung lain ketika berada dalam kenderaan dan sudah semestinya lebih selesa," katanya.

FADI dan Daya yang bersantai ke Sungai Lembing.
FADI dan Daya yang bersantai ke Sungai Lembing.

Katanya, selain mengunjungi Air Terjun Pelangi, dia bersama suami dan rakan-rakan juga mendaki ke Bukit Panorama yang hanya terletak sekitar lima minit dari Pekan Sungai Lembing.

"Bukit Panorama juga adalah destinasi terkenal masyarakat setempat kerana ia mempunyai kemudahan laluan mendaki yang hanya mengambil masa sekitar sejam sahaja pendakian ke puncak.

"Kami memilih untuk mendaki pada awal pagi kerana ingin menikmati pemandangan awan karpet yang begitu popular jika ke sana. Ternyata seawal jam 6.45 pagi kepulan awan putih terhampar di depan mata. Ditambah pula dengan gunung-ganang di hadapannya, memang memukau pemandangan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:01 AM