IBU berkerjaya memerlukan sokongan kerana dia memikul tanggungjawab besar sama ada di rumah atau di tempat kerja.
IBU berkerjaya memerlukan sokongan kerana dia memikul tanggungjawab besar sama ada di rumah atau di tempat kerja.
Oleh Dr Yong Adilah Shamsul Harumain

Setiap kali melangkahkan kaki keluar dari rumah, sama ada ke tempat kerja atau untuk urusan seharian, pasti hati seorang ibu akan berasa sungguh berat untuk meninggalkan anak. Bukan mudah untuk menjadi seorang ibu yang berkerjaya apatah lagi pada masa sama seorang ibu berkerjaya perlu memastikan kerja yang dijalankan dengan penuh amanah dan cemerlang. Harapan keluarga dan masyarakat adalah tinggi terhadap seorang ibu yang berkerjaya.

Kehidupan seorang ibu yang berkerjaya bermula sejak malam sebelum hari bekerja. Bermula dengan persiapan persekolahan anak dan kemudian menguruskan rumah tangga, keperluan suami serta ahli keluarga. Keesokannya pula, sejak pagi seorang ibu berkerjaya akan memikirkan perjalanan anak-anak ke sekolah, pengurusan mereka ke pusat transit atau ke sekolah agama.

Adakalanya kerja yang tidak dapat diselesaikan di tempat kerja, dibawa pula pulang ke rumah. Begitulah, rutin seharian seorang yang bergelar ibu berkerjaya. Sama ada seorang ibu berkerjaya atau tidak, bukanlah persoalannya di sini bahkan senario berbeza seorang yang bergelar ibu masih memikul tanggungjawab yang sama. Alah bisa tegal biasa. Sebaliknya, perubahan rutin, kesibukan dan kepenatan seorang ibu juga boleh menjadi suatu mimpi paling buruk apabila kemalangan boleh berlaku melibatkan nyawa seorang anak.

Sungguhpun begitu, wajarkah dipalit sepenuhnya tanggungjawab itu ke atas seorang ibu? Sebenarnya, masyarakat memainkan peranan penting dalam membendung kemalangan daripada berlaku. Kekuatan sesebuah institusi keluarga turut tersandang di bahu seseorang yang bergelar ibu.

Namun, bagi memastikan sesuatu rutin itu dapat ditangani dengan baik, sokongan dan peranan bapa amat penting. Pengorbanan dan toleransi kedua-dua ibu bapa adalah amat mustahak.

Selain itu, pihak pengurusan dan majikan di tempat kerja, masyarakat serta komuniti juga mesti berganding idea dan tenaga dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak terjamin. Pengurusan tadika dan sekolah juga boleh bersama-sama saling mengingatkan mengenai keberadaan dan keadaan anak. Sudah pasti, isu tertinggal anak di dalam kereta yang boleh meragut nyawa anak boleh dielakkan.

Manakala, pengurusan di tempat kerja pula boleh memberi pelbagai inisiatif sokongan jika terdapat masalah seperti anak sakit atau sebagainya. Jumlah jam bekerja juga perlu menimbang keperluan seorang ibu yang sedang menyusukan anak dan juga ibu yang mempunyai anak kecil supaya lebih banyak masa dapat diluangkan di rumah bersama mereka.

Kesedaran dan impak pihak pengurusan dan majikan terhadap seorang ibu yang berkerjaya bukanlah sekadar memberi peluang kepada ibu untuk mempunyai rutin harian yang lebih baik bahkan membantu generasi masa hadapan untuk membesar dengan lebih baik. Generasi masa hadapan inilah yang akan menerajui masa depan negara kita kelak.

Ini adalah sebuah pelaburan yang terbaik bagi sesebuah negara. Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac lalu, sudah tiba masanya kita cakna tentang peranan masing-masing di dalam menjamin masa hadapan anak kita.

Peranan setiap pemegang taruh termasuk ibu, bapa dan ahli masyarakat adalah penting dalam menjamin sesebuah institusi keluarga yg berjaya serta bahagia. Ia tidaklah terletak di bahu seorang ibu sahaja.

Kejayaan seseorang ibu atau wanita bukanlah kejayaan dirinya sendiri malah ia adalah sebuah kejayaan yang dimiliki oleh semua.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 6:30 AM