Wanita, biarpun ada kalanya dipandang sepi, namun ketiadaannya sering dicari. Kehadiran wanita bukan hanya penting dalam keluarga, namun turut diperlukan di sektor pekerjaan.

Namun, berapa ramai yang menghargai kehadiran wanita di sisi dan pastinya ada cabaran tersendiri yang perlu dihadapi terutama dalam kalangan ibu berkerjaya.

Dalam satu kaji selidik yang dilakukan Monster.com menemui wanita di Malaysia sering merasakan mereka perlu memilih antara kerjaya dan keluarga.

Satu pertiga daripada wanita berkerjaya bersetuju bahawa memiliki anak memberi kesan atau menjejaskan matlamat dan peluang dalam sasaran kerjaya mereka.

Kira-kira 30 peratus daripada wanita berkerjaya dan berkahwin mengakui terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja selepas memilih untuk mendapatkan anak manakala 28 peratus lagi tidak pasti sama ada meneruskan kerjaya ataupun sebaliknya.

Kaji selidik berkenaan membabitkan 700 responden di seluruh negara untuk mengenal pasti cabaran yang perlu dihadapi wanita berkerjaya hari ini.

Kajian itu juga bertujuan membantu majikan memahami cara meningkatkan penyertaan wanita dan menggalakkan syarikat menimbangkan bidang tugas yang bersifat mesra keluarga dalam menghargai bakat pekerja.

CABARAN WANITA BEKERJA

Menurut Pengarah Urusan Monster.com (India, Asia Barat, Asia Tenggara, Hong Kong), Sanjay Modi, sokongan berterusan majikan terhadap manfaat cuti bersalin mampu mengekalkan lebih ramai pekerja wanita yang berkemahiran dan menggalakkan golongan ibu bekerja semula.

“Ibu yang kembali bekerja membawa kemahiran dan perspektif baru di tempat kerja, namun mereka sering diabaikan. Ini membuatkan nilai dan kemahiran yang dimiliki tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya.

“Situasi ini sering berlaku kepada mereka yang banyak pengalaman kerja sekali gus memerlukan pelarasan minimum untuk kembali bekerja sepenuh masa.

“Apa yang mereka perlukan adalah sokongan, persefahaman dan matlamat yang jelas dalam melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja,” katanya.

Kaji selidik berkenaan turut mengambil kira cabaran wanita di tempat kerja di mana 41 peratus wanita mengakui penerimaan rakan setugas dan pelanggan menjadi cabaran besar kepada mereka.

Ia diikuti dengan kurangnya peluang untuk kenaikan pangkat (40 peratus) dan menyeimbangkan tuntutan tugas dan keluarga (37 peratus). Lebih memeranjatkan, hampir 70 peratus wanita berkerjaya di negara ini berasakan mereka berdepan dengan diskriminasi di tempat kerja.

Ini termasuklah tidak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat kerana faktor jantina (41 peratus), dipandang rendah oleh pihak pengurusan (29 peratus) dan dipersoalkan keputusan mereka untuk berkeluarga ketika ditemu duga (25 peratus).

Ada juga wanita mengatakan mereka tidak diberi tugasan tertentu di tempat kerja kerana dianggap mempunyai komitmen di rumah (19 peratus) manakala ada juga yang digelar dengan pelbagai panggilan termasuk ‘bossy’ atau suka me­ngarah (12 peratus) kerana bersikap tegas.

Bagaimanapun, lebih separuh daripada wanita di negara ini (54 peratus) berkata, mereka dibenarkan bekerja mengikut waktu kerja yang fleksibel. Keadaan ini dicari ramai wanita bergelar ibu kerana masa kerja anjal membenarkan mereka memberi keutamaan seimbang kepada kerjaya dan keluarga.

Bagi memberi sokongan dan menggalakkan lebih ramai golongan ibu kembali menyumbang tenaga serta kepakaran mereka, Monster Malaysia melancarkan kempen #SheMakesItWork untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu dihadapi wanita di tempat kerja di seluruh Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 2:09 PM