HAMSIAH komited dengan tugasan yang diberikan.
HAMSIAH komited dengan tugasan yang diberikan.
HAMSIAH (kiri) bersama pengurusnya, Rowena Chang.
HAMSIAH (kiri) bersama pengurusnya, Rowena Chang.
Hajahfarhana Tarmudi


Setiap ibu di dunia ini mempunyai impian untuk membesarkan anak mereka dalam suasana selesa dan sempurna. Bagaikan hadiah besar dan menyeronokkan jika diberi peluang menjaga dan mendidik anak mereka sendiri berbanding dihantar ke pengasuh, dijaga orang gaji atau taska pada usia masih kecil.

Lebih mencabar apabila ada antara anak yang dijaga penuh kasih sayang itu mempunyai masalah kesihatan kronik hingga membuatkan hati ibu tidak tenang bekerja.

Namun, bukan semua ibu berpeluang memenuhi impian berkenaan apatah lagi jika banyak komitmen yang perlu digalas sama ada melangsaikan hutang, menambah pendapatan keluarga atau mengejar cita-cita.

Ikuti kisah dan cabaran ibu anak lima yang perlu membahagikan waktu sehariannya antara keluarga juga sebagai kakitangan di syarikat logistik, penghantaran bungkusan dan penyedia penyelesaian pengurusan rantaian bekalan global.

Peluang cari rezeki

Bagi Hamsiah Abdul Samad, 50, dia pernah diduga dengan pengalaman mencabar apabila perlu mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga anak yang tidak sihat.

“Ketika itu, seorang anak saya yang berusia 10 bulan menghidap bronkitis kronik dan dimasukkan ke wad selama tiga minggu. Saya sudah mengambil keputusan untuk berhenti kerja, namun ia ditolak.

“Saya diberi cuti selama dua bulan untuk memberi perhatian kepada perkembangan kesihatan anak memandangkan dia mudah terkena penyakit. Apabila berada dalam situasi berkenaan, barulah saya sedar mengenai sikap tolak ansur serta saling membantu antara majikan dan pekerja yang ditimpa masalah.

“Saya berasa sangat bersyukur majikan memahami situasi yang berlaku dan memberi peluang meneruskan kerjaya diminati hingga ke saat ini,” katanya.

Ibu kepada lima anak ini mula menyertai United Parcel Service (M) Sdn Bhd dengan menyandang gelaran sebagai penolong akaun pada 1989 ketika usianya 28 tahun.

Pada 1997, Hamsiah dinaikkan pangkat sebagai penyelia di jabatan kewangan dan akaun syarikat berkenaan. Namun pada 2005, dia mengambil keputusan melepaskan jawatannya dan bertugas sebagai penolong penyelia disebabkan masalah keluarganya itu.

Apabila diberi peluang bertukar jabatan, dia terbuka hati untuk mencuba. Akhirnya, Hamsiah diterima untuk ditukarkan ke jabatan sumber manusia sebagai penganalisis dan diberi tugas mengendalikan isu pampasan serta faedah pekerja.

“Saya terharu apabila majikan memberi banyak peluang kepada pekerjanya untuk meningkatkan keupayaan diri dan meneruskan perjuangan mencari rezeki.

“Lebih menarik apabila kumpulan pengurusan syarikat memberikan anugerah kepada saya kerana setia dan antara pekerja yang paling lama bekerja di situ selain diberi peluang menonton acara Singapore F1 Grand Prix.

“Malah, seorang anak saya juga pernah menerima penghargaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) pada 2013 kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya.

Pada masa sama, Hamsiah juga pernah berpengalaman merasai kesukaran pekerja di bahagian penghantaran barang apabila khidmatnya diperlukan ketika kekurangan tenaga kerja.

Ia biasanya berlaku ketika musim perayaan besar kerana pada masa berkenaan, kuantiti barang yang perlu dihantar kepada pelanggan bertambah tetapi kekurangan tenaga kerja kerana bercuti.

Kerjaya dan keluarga

Sementara itu, dia sangat bersyukur kerana dianugerahkan suami, anak dan ahli keluarga yang saling memahami serta banyak membantu.

“Suami bekerja dalam bidang serupa dengan saya iaitu dalam perakaunan dan kami saling memahami jika saya atau suami perlu bekerja lebih masa.

“Bagi saya, persefahaman sangat penting bukan saja dengan suami tetapi juga anak. Kami sentiasa berbincang bersama jika ada masa tertentu untuk bekerja lebih masa.

“Dua perkara iaitu kerja dan anak, sama penting. Namun, anak tetap menjadi keutamaan saya. Saya dan suami sentiasa memastikan agar kedua-dua perkara berkenaan diuruskan dengan seimbang,” katanya.

Ujarnya, pernah juga dia diduga dengan kes orang gaji lari, namun bersyukur kerana ada ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal sekitar Kuala Lumpur banyak membantu.

Apabila ditanya mengenai kesanggupannya berhenti kerja, Hamsiah tersenyum dan menegaskan dia wanita yang berkerjaya. Ketika ini, belum terdetik dan terlintas buat dirinya bergelar suri rumah sepenuh masa.

Dia mempunyai pandangan sendiri mengenai disiplin anak dalam kalangan ibu berkerjaya. Baginya, anaknya dilihat lebih berdisiplin, berdikari dan berjaya.

Ia dibuktikan apabila anak sulungnya bergelar doktor manakala anak kedua bekerja sebagai jurutera. Kini, dia berasa puas apabila dapat melihat kejayaan lima anaknya bukan saja dalam pelajaran tetapi kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 11:53 AM