Oleh Najiy Jefri


Sejuk mata memandang, warak dan cintakan agama tidak menjanjikan seseorang itu memiliki keperibadian yang baik sepenuhnya.

Tanpa kita sedar, dunia realiti hari ini menyaksikan begitu ramai manusia yang bertopengkan agama untuk kepentingan diri.

Malah ada dalam kalangan golongan agamawan yang terpalit dengan pelbagai kesalahan jenayah atau tersasar jauh daripada landasan agama Islam.

Jadi wajarlah jika terdapat naskhah yang mengangkat atau membincangkan isu penunggang agama secara kritis di layar.

Namun baru-baru ini kecoh apabila seorang penulis mengkritik filem La Luna yang kini ditayangkan di platform penstriman digital, Netflix didakwa memaparkan elemen penghinaan Islam.

Menurut Zabidi Mohamed dalam kenyataannya, filem yang mengangkat kisah pertembungan antara agamawan memiliki sikap buruk dan wanita liberal itu memaparkan niat penerbit dan pengarahnya untuk meremeh serta memperlekeh agama Islam.

Bagaimanapun pada pandangan peribadi saya sebagai penulis dan pencinta filem tempatan, saya pula melihat filem La Luna sarat dengan peringatan dan pengajaran buat semua terutama yang beragama Islam.

Kalau anda menonton filem ini, banyak adegan dalam filem yang membuatkan jiwa terjentik dan terdapat kesalahan yang memerlukan sedikit pembongkaran.

Jika diamati, tidak bermakna orang yang berserban atau selalu menghabiskan masa di rumah agama tidak semuanya betul.

Realitinya ada juga segelintir yang hanya bersembunyi di sebalik topeng agama demi kuasa, wang ringgit dan pengaruh.

Buktinya terdapat banyak laporan yang media yang mendedahkan kegiatan tidak bermoral mengenai golongan agamawan.

Antaranya kisah seorang mudir madrasah yang dijatuhi penjara 13 bulan kerana melakukan kelucahan melampau dan mencabul seorang lelaki di sebuah hotel pada Disember 2020.

Begitu juga dengan kisah hukuman mati terhadap seorang bekas guru dan pengasas sekolah tahfiz atas tuduhan merogol 13 murid perempuan di bawah seliaannya.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan susulan tertuduh sebelum ini hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Satu hal yang harus kita ingat, golongan ini juga insan biasa dan kadangkala perlu ditegur supaya menjadi peringatan.

Justeru penulis berharap, orang ramai menonton terlebih dahulu filem ini dan seterusnya membuat penilaian secara rasional dan realistik.

Insya-Allah penulis yakin setiap pelakon dan kru yang terbabit dalam filem ini mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin memberi mesej dan pengajaran.

Dengan kos produksi sebanyak RM3.5 juta, filem La Luna ini mengisahkan kehidupan di sebuah kampung rekaan bernama 'Bras Basah' iaitu sebuah kampung yang tegas khususnya soal agama.

Kehadiran Hanie yang membuka kedai pakaian dalam dikenali 'La Luna' secara tiba-tiba menghidupkan kampung yang hampir sunyi dan tidak bersemangat itu.

Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran Hanie, ketua kampung pula nekad mahu mengusirnya kerana beranggapan perubahan yang dibawa Hanie merosakkan akidah dan suasana di Bras Basah.

Filem ini dibintangi Sharifah Amani, Shaheizy Sam, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan.

Selamat menonton!

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:30 AM