ZABIDI Mohamed. FOTO Arkib NSTP
ZABIDI Mohamed. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penulis, Zabidi Mohamed tegas mengkritik elemen penghinaan Islam yang dipaparkan menerusi filem berjudul La Luna yang kini ditayangkan di platform penstriman digital, Netflix.

Zabidi berkata, filem yang mengangkat kisah pertembungan antara agamawan memiliki sikap buruk dan wanita liberal itu memaparkan niat penerbit dan pengarahnya untuk meremeh serta memperlekeh agama Islam.

"Tidak saya nafikan ada golongan agamawan Islam dan asatizah tanah air yang terbabit dalam salah laku sivil dan jenayah.

"Tetapi untuk menggambarkan konflik pertembungan pemikiran antara golongan agamawan dan golongan fahaman liberal adalah niat nyata penerbit serta pengarahnya untuk meremeh-remeh, memperleceh, memperolok, memperlekeh dan merendah-rendahkan agama Islam," katanya.

Tambah Zabidi, strategi sebegini diguna pakai di dalam industri perfileman tanah air oleh individu-individu di belakang tabir yang bersikap liberal.

"Puak-puak liberal dalam industri filem tempatan akan menggambarkan watak protagonis (watak utama) yang mewakili pemikiran liberal dengan ciri-ciri yang berperwatakan progresif, 'advance thinking', 'free thought', 'kind thinking' dan 'liberal attitude'.

"Manakala, watak antoganis pula berperwatakan konservatif, 'old school' dan berpemikiran jumud. Itu pola penceritaan skrip mereka.

"Cuma pemikiran liberal itu disuntik secara halus dalam subteks. Yang menonton tanpa menilai dan mengukur dari sudut pandang Islam tidak akan dapat mengesannya," katanya.

Sehingga Disember 2023, Zabidi sudah mengkaji sekitar 18 filem tempatan yang diisi dengan elemen penghinaan terhadap agama Islam.

"Ikut kajian saya sejak 2013 hingga Disember 2023, saya sudah jumpa sekitar 18 filem yang diterbitkan di Malaysia mengandungi elemen penghinaan ke atas agama Islam.

"Ia sudah semakin dinormalisasikan. Puak-puak liberal dalam filem tanah air makin berani dan makin rancak. Untuk tanggungjawab pada agama Islam kita kena menunjukkan sikap dan menyatakan pendirian.

Filem La Luna adalah filem komedi Singapura - Malaysia, diarahkan oleh pengarah, M Raihan Halim dan dibintangi barisan pelakon antaranya Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron dan ramai lagi.

Zabidi sebelum ini lantang bersuara dan mengkritik kewujudan filem Mentega Terbang yang turut terpalit kontroversi apabila dilihat sebagai satu karya yang berlawanan dengan agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 3:59 PM