HISYAM Hamid. FOTO Arkib NSTP
HISYAM Hamid. FOTO Arkib NSTP
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Melakonkan watak Paat menerusi naskhah La Luna, pelakon Hisyam Hamid berpendapat orang ramai bebas untuk menyatakan pandangan masing-masing terhadap filem sentuhan pengarah asal Singapura, M Raiham Halim itu.

Hisyam, 38 menjelaskan terbuka dan menghormati pandangan sesetengah pihak terhadap berkenaan yang menjadi bualan hangat kerana mengandungi unsur lucah ringan atau 'soft porn' selain dianggap memperlekehkan agama Islam.

"Apa yang boleh saya katakan adalah setiap karya mempunyai perspektif yang berbeza. Penonton mempunyai ideologi mereka tersendiri. Jadi saya hormat setiap pandangan masyarakat tentang filem ini.

"Sejujurnya ketika kali pertama saya terima tawaran menjayakan filem ini, apa yang saya lihat adalah watak sendiri. Saya sangat tertarik dengan watak yang ditawarkan kerana saya jarang dapat peranan antagonis. "Jalan ceritanya pula, mungkin ada unsur-unsur yang sensitif, sebab itu filem ini mendapat klasifikasi 16 tahun ke atas apabila ditayangkan di pawagam. Tapi bila ditayangkan dalam platform pensriman (OTT) Netflix, baru La Luna menjadi perhatian dan mengundang pelbagai reaksi," kata Hisyam.

Biarpun tidak melakonkan adegan berunsur lucah ringan, Hisyam tidak menafikan turut terpalit kerana turut menjadi sebahagian pelakon yang menjayakan filem berkenaan.

"Sebenarnya komen yang saya terima pelbagai. Ada positif dan ada yang negatif. Watak saya sebagai Pa'at, seorang suami kaki pukul menerima banyak komen positif.

"Cuma ada juga netizen yang kecam apabila cakap filem ini tidak bermanfaat dan mempersendakan agama. Tapi bagi saya, sebenarnya terdapat mesej positif yang boleh kita lihat menerusi La Luna. Cuma daripada segi penyampaiannya kena lebih berhati-hati," katanya.

Terdahulu, La Luna yang turut membabitkan pelakon Shahiezy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Nadiya Nisaa, Nam Ron dan Farah Ahmad dikritik apabila penonton mendakwa filem mengandungi unsur lucah ringan dan memperlekehkan agama.

La Luna mengisahkan Hanie (Sharifah Amani) yang membuka sebuah kedai pakaian dalam bernama La Luna di Kampung Bras Basah.

Kehadiran Hanie diterima baik masyarakat, namun ditentang hebat oleh ketua kampung (Wan Hanafi Su) yang mahu memusnahkan perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 1:08 PM