HANYA  40 peratus daripada individu berusia 80 tahun di China   menerima dua dos vaksin dan satu suntikan dos penggalak Covid-19.
HANYA 40 peratus daripada individu berusia 80 tahun di China menerima dua dos vaksin dan satu suntikan dos penggalak Covid-19.
Syah Rul Aswari Abdullah

Memasuki tahun keempat pandemik Covid-19, ramai orang semestinya lega kerana kehidupan kita semakin kembali seperti tahun-tahun sebelum pandemik. Ya, kita masih dalam peralihan ke fasa endemik. Namun, kebanyakan aspek kehidupan sudah semakin sama seperti prapandemik.

Satu perkara yang masih kekal sejak lebih dua tahun lalu adalah kebiasaan pemakaian pelitup muka oleh sebahagian besar rakyat negara ini. Janggal rasanya apabila tidak memakai pelitup muka ketika keluar ke lokasi tumpuan awam seperti kompleks beli-belah.

Namun, keceriaan dunia menyambut 2023 seakan terbantut dengan 'khabar mengejut' dari Beijing. China yang sudah hampir tiga tahun berpegang teguh kepada dasar sifar Covid-19, tiba-tiba melonggarkan semua peraturan Covid-19, pada akhir tahun lalu.

Kini, tiada lagi sekatan pergerakan mengejut (snap lockdown) setiap kali ada kes baharu Covid-19 di negara itu. Individu yang positif Covid-19 pula dibenarkan untuk menjalani kuarantin di rumah. Tiada juga lagi ujian besar-besaran setiap kali ada kes baharu dikesan di mana-mana lokaliti.

Selain itu, Beijing berhasrat untuk tidak lagi menggunakan aplikasi khas pengesanan Covid-19. Aplikasi ini sebelum ini digunakan bagi mengesan pergerakan individu berdasarkan isyarat pada telefon bimbit mereka. Ia akan mengenal pasti mana-mana orang yang berada di kawasan berisiko tinggi untuk mengawal mereka daripada bergerak ke lokasi lain.

Perubahan lain termasuk pengembara luar negara tidak lagi perlu menjalani kuarantin, mulai bulan ini.

Bagaimanapun, berita ini sebaliknya meresahkan dunia. Pertamanya, kelonggaran peraturan ini bermakna virus itu boleh 'mengganas' dalam kalangan 1.4 bilion rakyatnya. Ini memandangkan beberapa faktor. Paling utama - masih banyak negara berpandangan bahawa vaksin keluaran China adalah kurang efektif berbanding vaksin dihasilkan di negara Barat.

Ini belum lagi mengambil kira kadar vaksinasi negara itu. BBC yang memetik angka rasmi pihak berkuasa China menyatakan, setakat November 2022, hanya 40 peratus daripada individu berusia 80 tahun di negara itu yang sudah menerima dua dos vaksin dan satu suntikan dos penggalak. Sedangkan, kumpulan usia ini adalah golongan paling rentan terhadap jangkitan Covid-19.

China sebelum ini juga menjalankan sekatan pergerakan yang ketat. Satu saja kes bermakna seluruh bangunan atau kawasan akan ditutup. Sesiapa pun tidak dibenarkan masuk dan keluar. Jadi, ini bermakna kurang bilangan orang yang sudah dijangkiti Covid-19. Ini sekali gus bermakna kurang juga imuniti semula jadi dalam kalangan rakyatnya.

Sebagai perbandingan dengan Malaysia, kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negara ini sudah hampir 100 peratus. Jika dicongak di sekeliling kita, hampir kebanyakan orang juga pernah dijangkiti Covid-19. Ada juga individu yang rapat dengan kita sudah dijangkiti Covid-19 untuk kali kedua.

Faktor lain yang menimbulkan kegelisahan penduduk dunia juga adalah lonjakan kes yang berlaku di China pada masa kini. Namun, sama seperti yang berlaku ketika virus ini pertama kali dilaporkan di Wuhan, tidak banyak laporan rasmi yang diketahui daripada Beijing.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) China pula mengumumkan untuk tidak lagi menerbitkan data mengenai kes Covid-19. Urusan itu kini diserahkan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China.

Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula dilaporkan sangsi dengan data statistik rasmi dikeluarkan China berhubung kes kematian akibat Covid-19. Ia didakwa tidak menunjukkan kesan sebenar wabak berkenaan.

Menurut Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan, statistik semasa yang diterbitkan China kurang menggambarkan kesan sebenar wabak dari segi kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan jumlah kes kematian.

Jadi, mahu tidak mahu, pelbagai negara mula mengenakan sekatan dan peraturan kemasukan terhadap pengembara dari China. Ada juga negara yang sudah tidak membenarkan kemasukan pengembara dari negara itu. Seperti dijangka, China yang tidak senang dengan semua tindakan berkenaan, menganggap ia diskriminasi kepada warganya.

Ketika ini, WHO masih berusaha 'memujuk' Beijing supaya berkongsi data terperinci mengenai Covid-19. Tanpa data terperinci ini, amat sukar untuk negara lain, termasuk Malaysia untuk melaksanakan sebarang tindakan yang sesuai dengan situasi semasa.


Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 7:01 AM