WANITA tiba dari China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul. FOTO AP
WANITA tiba dari China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul. FOTO AP
AFP

Beijing: China menggantung visa jangka pendek untuk warga Korea Selatan sebagai tindak balas terhadap langkah Seoul mengenakan sekatan terhadap warganya.

"Kedutaan dan Konsulat China di Korea Selatan akan menggantung pengeluaran visa jangka pendek kepada warga Korea Selatan," kata kenyataan kedutaan China di Seoul.

Menurut kenyataan sama, langkah itu akan dikemas kini, jika Korea Selatan menarik balik diskriminasi sekatan kemasukan untuk pengembara dari China.

Bulan lalu, Seoul mengenakan sekatan terhadap pengembara dari China, termasuk sekatan visa, syarat ujian dan had penerbangan, dengan menyatakan ia susulan lonjakan kes Covid-19 di China.

Seoul turut mengehadkan penerbangan dari China, dan pengembara dari tanah besar, Hong Kong dan Macau perlu diuji negatif Covid-19 sebelum berlepas dan sekali lagi menjalani ujian saringan apabila tiba di Korea Selatan

Individu positif perlu menjalani kuarantin selama seminggu, menurut pihak berkuasa.

China ketika ini tidak mengeluarkan visa pelancong dan mensyaratkan keputusan negatif ujian Covid-19 untuk semua pengembara.

Seorang warga China yang sebelum ini diuji positif ketika tiba di Seoul tidak mahu menjalani kuarantin sebelum melarikan diri, dan ia menyebabkan pencarian selama dua hari. Berita itu menjadi tajuk utama media Korea Selatan.

Polis akhirnya menemui warga China itu dan akan menyoal siasatnya kerana melanggar peraturan.

Menurut angka rasmi, 2,224 warga China dengan visa jangka pendek memasuki Korea Selatan sejak 2 Januari, dengan 17.5 peratus daripadanya positif Covid-19.

Pulau Jeju, pulau paling selatan di Korea Selatan, yang mempunyai lapangan terbang antarabangsanya sendiri adalah destinasi popular bagi pelancong China, sebelum pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 2:30 PM