GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd. Salleh

Kehidupan beragama menjadi suatu keperluan manusia sejak daripada peringkat awal manusia dijadikan. Allah SWT memberikan kepada manusia kebebasan untuk memilih jalan hidup masing-masing. Bagaimanapun, kehidupan sebagaimana yang telah ditetapkan Allah SWT menjadi tuntutan kepada setiap manusia sama ada secara sukarela atau terpaksa, manusia mestilah mengikut jalan yang digariskan oleh Allah SWT.

Allah menciptakan manusia dengan segala macam keperluan kehidupan dan kewajipan untuk memilih jalan kehidupan masing-masing. Allah berfirman: "Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)." (Surah al-Insan, ayat 3)

Bagi mengharungi kehidupan sebagai manusia biasa di dunia ini, manusia mestilah melalui setiap detik kehidupan mengikut peraturan Allah. Walaupun manusia diberi kebebasan untuk memilih jalan hidup, tetapi ia mestilah menepati cara hidup yang berlandaskan syariat Allah. Apabila mengikuti jalan yang diredai Allah, maka manusia akan merasai kebahagiaan dan ketenangan. Manakala, manusia yang hidup dengan cara yang berlawanan dengan ketetapan Allah akan sentiasa merasai kekurangan dan perasaan tidak tentu arah terutamanya apabila menghadapi ujian kehidupan.

Oleh itu, Allah hanya menerima Islam sebagai agama atau cara hidup. Allah berfirman: "Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi." (Surah Ali Imran, ayat 85)

Jelas daripada ayat ini Allah hanya menerima cara hidup yang menepati kehendak Islam. Cara hidup selain daripada cara hidup Islam tidak diterima Allah. Bahkan, akan ditolak dan akan ditimpa kerugian mereka yang hidup dengan cara jahiliyyah dan tidak mengikut lunas Islam.

Dalam konteks masyarakat di Malaysia yang pelbagai kepercayaan dan anutan berlandaskan kaum dan bangsa, maka keperluan berpegang teguh kepada cara hidup Islam sangat dititik beratkan. Islam tidak menghalang manusia mengikut kepercayaan atau anutan masing-masing. Tetapi, pada masa sama, Islam menegaskan bahawa hanya cara hidup Islam yang diterima Allah.

Oleh itu, sebagai Muslim yang dipilih Allah, wajib mempertahankan Islam daripada sebarang ancaman dan perkara yang boleh menjatuhkan imej dan martabat Islam. Antaranya ialah dengan tidak mempersenda atau meremehkan perkara melibatkan kepercayaan, ibadat dan segala hukum-hakam agama.

Islam adalah agama fitrah. Segala ajaran dalam Islam tidak berlawanan dengan naluri dan fitrah manusia. Bahkan, agama Islam adalah agama yang menepati segala keperluan dan cara hidup seluruh manusia. Oleh itu, Islam adalah agama yang sesuai untuk semua manusia di atas muka bumi ini. Malah, ajaran Islam juga membawa rahmat kepada seluruh alam termasuklah kepada makhluk lain seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Allah berfirman: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Ayat ini membuktikan bahawa Allah mengutus Rasul yang membawa ajaran agama Islam kepada seluruh alam sebagai tanggungjawab paling besar. Apabila semua manusia patuh kepada ajaran Islam, bermakna mereka telah memilih jalan hidup yang benar bagi kehidupan. Dengan pilihan yang benar dan tepat ini, manusia akan hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Matlamat hidup sebenar manusia adalah untuk bersedia menghadapi hari akhirat tanpa mengabaikan keperluan dunia. Allah menegaskan bahawa matlamat pertama kehidupan dunia ini ialah mencari bekalan akhirat. Malah, segala perkara berbentuk keduniaan hendaklah ditukar kepada nilai akhirat. Jika tidak, maka apa sahaja usaha manusia untuk mencapai keduniaan itu adalah sia-sia.

Allah berfirman: "Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (Surah al-Syura, ayat 20)

Melalui ayat ini dapat difahami bahawa tanpa bekalan mencukupi untuk akhirat, manusia akan sengsara pada alam akhirat. Oleh itu, usaha bersungguh-sungguh dan berterusan untuk mencapai matalamat akhirat mestilah menjadi agenda utama setiap manusia. Pada masa sama, usaha untuk memartabatkan dan mengangkat Islam juga menjadi kewajipan yang tidak boleh dipandang rendah.

Mutakhir ini, banyak kes melibatkan penghinaan kepada agama Islam berlaku dalam masyarakat, sama ada di peringkat negara kita dan juga di peringkat antarabangsa. Kes menghina Rasulullah SAW antara yang telah membakar semangat umat Islam seluruh dunia untuk bangkit menentang. Begitu juga dengan beberapa posting (hantaran) dalam media sosial yang mempersenda beberapa nilai utama di dalam agama, contohnya, apabila bermain-main dengan ibadat solat.

Antara yang menjadi tular pada masa ini ialah tentang posting yang menunjukkan seseorang solat dan menjadi imam kepada model seperti kipas sebagai makmum. Mungkin tidak dengan niat mempersenda ibadat solat secara langsung, tetapi posting seperti itu seolah-olah menjadikan ibadat seperti barang gurauan iaitu boleh dilakonkan atau dilaksanakan secara tidak khusyuk ataupun sepenuh hati ketika menghadap Allah. Apatah lagi, barang sendaan itu melibatkan solat tiang agama.

Sebagai Muslim sepatutnya berusaha memartabatkan nilai agama yang Allah anugerahkan. Bukan semua orang menerima hidayah. Oleh itu, kurniaan ini mestilah dihargai dengan pengorbanan membela agama Allah di atas muka bumi. Jauhi anasir yang merendahkan nilai Islam di mata masyarakat. Bela dan pertahankanlah agama ini sepenuh jiwa raga kerana nilai iman dan Islam itu tiada taranya.


Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 7:01 AM