GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Ajib Ismail

SETIAP Mukmin dipertanggungjawabkan sentiasa mengingati kembali tujuan Allah SWT menciptakan manusia iaitu untuk beribadat kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah Adz Dzariyat, ayat 56 bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Setiap manusia diuji sejauh mana tahap keimanan kepada Allah SWT yang akan menentukan kedudukannya di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu), untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Ajaran Islam menuntut kita berusaha mempertingkatkan kuantiti dan kualiti ibadat, menjaga hubungan sesama manusia serta meningkatkan prestasi kerja dalam melaksanakan amanah di samping mencari rezeki.

Setiap Mukmin perlu berusaha menjadikan hari baru yang dilalui sentiasa lebih baik dari hari semalam serta tidak mengulangi kesilapan sama berulang kali.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang Mukmin tersengat bisa dari lubang (binatang berbisa) yang sama sebanyak dua kali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap manusia perlu mempersiapkan diri dengan bekalan amalan menuju akhirat.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

Ayat itu menyarankan setiap Mukmin menilai persediaan yang dilakukan menuju akhirat.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan hadis bermaksud: "Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya)." (Riwayat at-Tirmizi, no. hadith : 2459)

Hayati juga pesanan Saidina ‘Umar al-Khattab RA bermaksud: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan persiapkanlah diri kamu untuk hari perhitungan yang besar di hadapan Allah SWT Yang Maha Agung kerana perhitungan seseorang kamu akan menjadi ringan di akhirat nanti bagi seseorang yang sentiasa menghisab dirinya ketika di dunia.”

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan iman dan takwa seiring dengan azam baharu adalah seperti memperbaiki solat.

Selain itu, kita juga disarankan mentadabbur ayat al-Quran dengan memahami, menghayati isi kandungannya serta mengamalkannya dalam kehidupan.

Kita juga harus meningkatkan ilmu pengetahuan kerana ia menjadikan manusia semakin tunduk dan takjub kepada Allah SWT. Selain itu, setiap perintah perlu dilaksanakan secara konsisten serta memperbanyakkan syukur kerana dapat menikmati kehidupan yang dianugerahkan Allah SWT ini.

Rasa syukur menjadikan kita selalu mencari nikmat dan rezeki Allah SWT dan yakin Allah sentiasa memberi pertolongan-Nya pada setiap masa.

>>Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 10:05 AM