FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Sebagaimana yang diketahui, negara sudah melalui proses demokrasi seperti yang dikehendaki di dalam Perlembagaan. Semua pihak telah menyatakan pendirian dan rakyat pula telah membuat pilihan. Kini, kerajaan yang terbentuk bertanggungjawab meneruskan usaha dan kerja bagi membangunkan negara dan meneruskan kerja yang sepatutnya dijalankan oleh mana-mana kerajaan sekalipun. Pelaksanaan dan keberkesanan gerak kerja seterusnya akan dipantau dan dinilai oleh rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan yang dipilih.

Dalam Islam, umat Islam diperintahkan Allah SWT untuk berkerja ataupun menunaikan ibadat kepada-Nya. Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah al-Taubah, ayat 105)

Berdasarkan ayat di atas, dapatlah difahami bahawa perintah Allah sebenarnya supaya kita melaksanakan tugas atau bekerja sebagaimana yang diperintahkan Allah, iaitu dengan berlandaskan peraturan dan juga peraturan Allah. Perkara ini jelas apabila disebutkan bahawa segala ibadat itu akan dilihat oleh Allah, Rasul dan orang Mukmin. Bermakna apa sahaja yang dilakukan tidak terlepas daripada hisab (perhitungan) amal ibadat di hadapan Allah. Dengan itu, Allah akan menentukan balasan kepada setiap amalan atau ibadat yang kita lakukan sama ada akan mendapat pahala atau sebaliknya. Justeru, setiap orang Islam diperintahkan melakukan amal ibadat dengan niat kerana Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam" - (Surah al-An'am, ayat 162). Daripada ayat di atas, kita fahami bahawa setiap gerak-geri kehidupan ini adalah ibadat kepada Allah. Ibadat ini akan diberi penilaian sewajarnya di sisi Allah sama ada apa yang kita lakukan itu memang sebenarnya ibadat secara khusus atau secara umum kepada Allah. Bahkan, seluruh kehidupan kita termasuk kematian juga sebenarnya adalah ibadat kepada Allah. Oleh itu, hendaklah dipastikan bahawa segalanya berlaku dan ditunaikan kerana Allah sebagai syarat utama ibadat kita diterima oleh-Nya.

Sesungguhnya Allah hanya menerima pekerjaan atau usaha kita sebagai ibadat apabila berdasarkan niat ikhlas kerana Allah dan menepati sunah Rasulullah SAW. Allah berfirman yang bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar." (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Dapat kita fahami daripada ayat ini bahawa Allah tidak menerima sebagai ibadat amalan yang dilakukan tidak kerana Allah. Bahkan, sekiranya amalan itu dilakukan kerana selain daripada Allah ia dikira sebagai syirik. Manakala, jika dilaksanakan kerja atau amalan bermula dengan kerana Allah, tetapi pada masa sama meniatkan atau berhajatkan kepada pandangan manusia, maka ia dikira sebagai riyak iaitu membuat amalan kerana Allah tetapi dengan niat untuk dilihat oleh manusia.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada keadaan dan proses kehidupan yang dilalui setiap hari, kita tidak boleh terlepas daripada dihitung setiap gerak-geri kita oleh Allah sama ada ketika berdiri, duduk atau berbaring. Maka, hendaklah dipastikan manusia sentiasa berada dalam keadaan zikir iaitu mengingati Allah dalam semua keadaan. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, maka akan menjamin bahawa setiap gerak-geri dan tindak-tanduk atau amal ibadat kita secara khusus dalam kehidupan kita ini, nescaya akan menjadi ibadat kepada Allah.

Dalam kehidupan seharian juga, kadang-kadang terfikir dan membahagikan kepada perkara yang berkaitan keduniaan dan berkaitan akhirat. Sebagai Muslim, segala kerja mestilah dijadikan matlamat asalnya untuk akhirat. Allah memerintahkan umatnya supaya mencari dan berusaha untuk mendapatkan akhirat melebihi daripada kehidupan dunia. Ini bukan bermakna kehidupan dunia boleh diambil remeh, tetapi menunjukkan akhirat itu lebih penting dan menjadi matlamat utama kita.

Setiap gerak-geri kita sama ada percakapan atau perbuatan atau dalam hati sekalipun, mesti ada perkiraan di sisi Allah. Mungkin ada kepentingan tertentu termasuk kepentingan peribadi yang akan menghantui kita atau yang akan menjadi cabaran yang menghalang di hadapan apabila kita meniatkan khusus kerana Allah. Namun, dalam situasi seperti itu hendaklah kita beristighfar iaitu memohon keampunan Allah dan berdoa agar Allah menetapkan hati dan terus istiqamah dalam setiap amal ibadat kita hanya kerana Allah.

Berdasarkan gesaan Allah di atas juga, memberikan peringatan untuk kita terus beramal dan melaksanakan tugas kerana satu kepastian yang tidak dapat kita nafikan ialah segala amal ibadat kita akan dipertontonkan kepada Allah pada Hari Kiamat. Pada ketika itu, tidak ada lagi peluang untuk membela diri kerana seluruh anggota akan menjadi saksi kepada amal ibadat yang di lakukan di dunia.

Sebagai seorang yang insaf dan takut kepada balasan di akhirat sudah pasti akan menjaga amal ibadat kita agar ia menjadi ikhlas kerana Allah dan tidak melibatkan kepentingan sendiri atau kepentingan tertentu yang menjejaskan niat ikhlas.

Tegasnya, dalam usaha dan melaksanakan tugasan, hendaklah kita ingat bahawa bukan setakat amalan kita akan dilihat manusia yang masih hidup, bahkan akan dilihat oleh Rasulullah SAW. Seterusnya akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 6:15 AM