FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
minda

Berkerut dahi berfikir. Fokus lari 'ke laut' seketika. Mata tertumpu mesej pada paparan telefon.

Maklumat mengejutkan baru disampaikan. Seorang warga emas Orang Asli mati dibaham pak belang di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan awal pagi itu.

Ketika mesej diterima, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim selaku Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia sedang menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Zoo Melaka. Usaha sama dicapai bagi melaksanakan program pembiakan khas spesies tempatan termasuk harimau Malaya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Abdul Kadir menyampaikan mesej sayangi harimau malaya. Beliau menyeru masyarakat mengambil langkah perlu bagi melindungi baki kurang 200 ekor harimau belang yang kian pupus.

Harimau belang yang menjadi simbol Jata Negara kita perlu diselamatkan. Dia tidak mahu harimau Malaya senasib Iman iaitu badak sumbu Sumatera terakhir yang pupus pada 2019.

Malangnya tragedi terbaharu harimau belang memakan daging manusia ini pastinya menggemparkan negara dan mencetuskan pelbagai polemik serta implikasi terhadap dirinya.

Jabatan netizen, NGO dan orang politik pastinya akan meloncat terkejut sebelum memberikan pelbagai reaksi. Bermulalah perang tuding jari mencari 'kambing hitam'.

Perhilitan pastinya diheret ke kancah konflik dan ini bakal memeningkan Abdul Kadir yang baharu menyelesaikan kes serangan harimau kumbang yang merobek kepala remaja Orang Asli di Kampung Kelatap, Sungai Siput, Perak, Disember lalu.

Baginya, situasi terbaharu itu mencetuskan dilema baharu antara kepentingan nyawa manusia dan usaha memastikan hidupan liar terus dilindungi daripada pupus.

Kisah harimau mengganas di Pos Bihai bukanlah kisah baharu. Ia ibarat drama bersiri sejak Julai tahun lalu bermula dengan kes penoreh getah cedera parah diserang harimau di Kampung Badak.

Ketakutan terhadap 'raja rimba' itu berlarutan apabila harimau di sana kian rakus menyerang pekerja balak di Kampung Bayur selain menyerang Orang Asli di Kampung Bujuk.

Kacau ganggu harimau belang di perkampungan itu sejak tahun lalu menyebabkan penduduk Orang Asli dibelenggu ketakutan bagi tempoh panjang. Hingga ada yang bertanya, apa yang Perhilitan sudah lakukan?

Pada dasarnya Perhilitan sudah melakukan semua yang terbaik sejak beberapa tahun kebelakangan ini membabitkan usaha menyelesaikan konflik pelbagai haiwan liar dan manusia. Bukan hanya harimau belang, malah masalah dibawa gajah, harimau kumbang, babi hutan, monyet liar, buaya tembaga dan pelbagai haiwan lain 'bikin' Perhilitan tidak menang tangan.

Ternyata cabaran terbaharu dihadapi Kadir jauh lebih berat berbanding yang dilalui Ketua Pengarah Perhilitan sebelum ini. Dia bukan hanya perlu segera menyelesaikan isu ini malah perlu memuaskan hati semua pihak termasuk menangkis 'serangan' media sosial.

Malah, bagaikan satu kebetulan, ketika tragedi itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru selesai mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putrajaya.

Secara jelas, pemimpin nombor satu negara turut menyedari kepupusan harimau Malaya kini berpunca kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram, selain penularan virus.

Malah, beliau bersetuju kawasan hutan di Semenanjung ditingkatkan daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang 2040, selaras Rancangan Fizikal Negara Keempat.

Matlamat itu melalui Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun tidak mustahil direalisasikan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Perhilitan, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan.

Kadir yang dihubungi penulis mengakui bebanan berat ditanggung Perhilitan dalam 'menyejukkan' semula suasana.

"Orang bukan tahu masalah kita! Saban minggu petugas Perhilitan ditugaskan di seluruh negara untuk menyelesaikan isu pencerobohan berpuluh gajah liar dan haiwan lain.

"Ini belum termasuk beban petugas penguat kuasa membanteras pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar. Kini fokus kami beralih pula kepada konflik dicetuskan harimau belang," katanya.

Menurutnya, terdapat pelbagai faktor menjadi punca amukan harimau belang antaranya kemerosotan haiwan mangsa seperti babi hutan, pelanduk dan kijang yang menjadi 'menu tetap' haiwan ini.

"Malah, pencerobohan dan guna tanah tidak terkawal turut menyebabkan haiwan ini terkeluar dari habitat asal. Ramai tidak menyedari fakta, harimau mempunyai kawasan jajahan sendiri dan tidak boleh menerima kemasukan harimau lain.

"Konflik perebutan kuasa dan kawasan boleh menyebabkan harimau belang 'ditolak' hingga ke kawasan penempatan manusia. Lebih memburukkan keadaan jika harimau belang ini dijangkiti virus canine distemper (CDV) yang menyebabkan otaknya menjadi kurang siuman," katanya.

Seperti diramal, pelbagai NGO tampil dengan hujah dan fakta apabila insiden itu dikaitkan dengan penerokaan hutan dan guna tanah berlebihan di sekitar Pos Bihai. Pelbagai bukti dikumpulkan menguatkan hujah aktiviti itu dilakukan dalam radius pergerakan harimau.

Namun perbalahan kian meleret apabila kerajaan Kelantan dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menafikan aktiviti pembalakan punca harimau belang mengganas.

Persoalan asas tiada jawapan. Mengapa Pos Bihai menjadi sasaran harimau belang? Adakah salah tauke balak, kerakusan penduduk Pos Bihai menjerat haiwan mangsa, wabak virus CDV atau keputusan kerajaan negeri membenarkan penerokaan hutan untuk perladangan?

Hampir 30 petugas Perhilitan ketika ini masih berkampung di Pos Bihai sejak lebih 11 hari lalu bagi menyelesaikan masalah melanda. Matlamat memastikan nyawa penduduk kampung tidak berada di hujung taring harimau.

Persoalannya sampai bila krisis ini berlarutan dan di mana titik penyelesaian. Apa kesudahannya?

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:00 AM