PENANTIAN vaksin mencegah Covid-19 turut menjadi bahan  pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah.
PENANTIAN vaksin mencegah Covid-19 turut menjadi bahan pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Pada Februari lalu, saya pernah menulis mengenai geng 'konarvirus' iaitu mereka yang gemar menyeleweng fakta dan memutar belit maklumat berkaitan Covid-19 yang ketika itu masih dikenali dengan nama koronavirus baharu.

Kelompok ini suka menyebarkan maklumat tidak tepat, mereka-reka teori tidak masuk akal, mempersoalkan kecekapan kakitangan kesihatan atau lebih memualkan menjual produk pseudosains.

Ketika itu, kes Covid-19 di Wuhan hanyalah sekitar 213 kematian dengan 9,929 mangsa jangkitan.

Ketika itu juga belum wujud Kluster Sri Petaling di Malaysia namun golongan ini sudah berani berkongsi pelbagai teori.

Menjengah Disember 2020, nampak gayanya kelompok ini masih aktif menyebarkan maklumat dan teori mengarut.

Ada antara mereka mengatakan bahawa Covid-19 itu tidak wujud dan ia hanya rekaan pihak tertentu tapi dalam masa sama, mereka juga menyarankan pengambilan vitamin C pada dos tinggi.

Jadi, sebenarnya Covid-19 itu wujud atau tidak? Begitu sukar menelaah fikiran golongan ini.

Berdasarkan laporan CNA, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Covid-19 adalah pandemik pertama dalam sejarah yang melanda ketika teknologi dan sosial media digunakan oleh masyarakat pada skala besar-besaran.

Maka, wujudlah istilah infodemik iaitu penyebaran berita palsu dan tidak tepat.

WHO berkata, penggunaan media sosial ini pada asalnya adalah untuk memastikan orang ramai sentiasa selamat, mendapat maklumat, produktif serta saling berhubung antara satu sama lain.

"Namun, pada masa sama, teknologi ini yang sepatutnya membantu kita mendapatkan maklumat, mungkin berisiko mendorong kepada infodemik yang boleh melemahkan maklum balas global dan membahayakan usaha mengawal pandemik itu," katanya.

Ketua Bahagian Imunisasi WHO, Rachel O'Brien berkata, agensi itu khuatir maklumat palsu yang disebarkan oleh apa yang disebut sebagai gerakan antivaksin menghalang orang awam daripada mengambil vaksin Covid-19.

"Kami sangat prihatin mengenai hal itu. Kami mahu orang awam mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai.

"Mereka juga perlu sedar bahawa terdapat banyak maklumat salah di luar sana, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja," katanya kepada AFP.

Lebih daripada 1.4 juta mangsa korban Covid-19 direkodkan sehingga kini sejak pertama kali wabak itu muncul di China akhir tahun lalu.

Sehingga kini, sebanyak tiga syarikat iaitu Pfizer/BioNTech, Moderna dan AstraZeneca/Universiti Oxford membangunkan vaksin Covid-19 dan sedang memohon kelulusan untuk membolehkan ia digunakan seawal bulan hadapan.

Kerajaan juga terpaksa bergelut dengan keraguan terhadap vaksin terbabit yang dibangunkan dalam rekod masa begitu pantas ketika media sosial menjadi jambatan bagi menyampaikan maklumat sama ada yang sahih atau tidak tepat mengenai virus itu.

Bulan lalu, kajian daripada Universiti Cornell di Amerika Syarikat (AS) mendapati Presiden Donald Trump menjadi peneraju kesilapan maklumat terbesar dunia berkaitan pandemik Covid-19.

Pada April lalu, Trump memikirkan mengenai kemungkinan untuk menggunakan pembasmi kuman di dalam badan bagi menyembuhkan Covid-19 selain mempromosikan rawatan yang tidak terbukti berkesan.

Sejak Januari, media antarabangsa sudah menerbitkan lebih 2,000 artikel pemeriksaan fakta yang membongkar dakwaan palsu terhadap Covid-19.

WHO berkata, pihaknya khuatir tanpa maklumat yang tepat, kempen imunisasi tidak dapat memenuhi sasarannya.

"Tanpa kepercayaan dan maklumat yang tepat, ujian diagnostik tidak akan berguna, malah kempen imunisasi tidak akan mencapai sasaran, sekali gus berisiko menyebabkan virus terus berkembang," katanya.

Saya mohon rakyat Malaysia agar dengarlah saranan mereka yang ahli dalam bidang kesihatan. Tak usahlah termakan dakyah segelintir individu yang mengatakan vaksin Covid-19 diberi untuk tujuan menanam cip mikro dalam tubuh manusia.

Fahamilah apa fungsi vaksin. Bantulah negara mewujudkan imuniti kelompok agar kita sama-sama dapat melindungi golongan lain seperti pesakit kanser atau bayi yang belum mencapai usia sesuai untuk divaksin seperti peribahasa lemah menapis, condong menopang.


Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:00 AM