PELBAGAI teori konspirasi timbul mengenai kehilangan pesawat MH370 yang belum ditemui. FOTO Arkib NSTP
PELBAGAI teori konspirasi timbul mengenai kehilangan pesawat MH370 yang belum ditemui. FOTO Arkib NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Beberapa hari lalu, ketika melayari Facebook saya terbaca satu hantaran mengenai penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 2014.

Dalam hantaran berkenaan, ia menyatakan bahawa beberapa penumpang rakyat Malaysia yang sebahagiannya adalah kakitangan Malaysia Airlines kini bekerja di kem tentera Amerika Syarikat yang terletak di wilayah milik British iaitu Diego Garcia.

Ia turut memaparkan perbandingan wajah mangsa ketika mereka hilang dengan beberapa gambar lain didakwa penampilan terbaharu mereka.

Hantaran berkenaan ternyata mendapat perhatian warganet yang melontarkan buah fikiran masing-masing di ruangan komen.

Pelbagai teori dikongsi. Sama ada betul atau tidak apa yang dikatakan itu, tolak ke tepi saja. Apa yang penting kongsi dahulu di ruangan komen.

Hantaran berkenaan juga mendapat perhatian seorang anak mangsa yang tampil menafikan bahawa gambar yang tular itu adalah bapanya.

Namun, masih ada segelintir warganet kaki teori konspirasi ini menegakkan kepercayaan mereka dan mengatakan anak mangsa membuat kenyataan seperti itu kerana sudah mendapat pampasan.

Bukan sekadar insiden MH370, kemunculan pandemik Covid-19, vaksin, banjir di Pakistan, jejak pemeluwapan (contrail) teori bumi datar sehinggalah menara 5G, pasti ada saja teori yang dikongsikan golongan ini.

Berdasarkan maklumat dari portal IFLscience, neurosaintis mengatakan bahawa individu yang percaya kepada teori konspirasi mempunyai otak yang lebih terdedah kepada persepsi corak ilusi iaitu mencari hubungan apabila ia sebenarnya tiada.

Katanya, penyebab utama di sebalik kejadian ini adalah dopamin.

Menurutnya, mereka yang mempunyai tahap dopamin bebas yang lebih tinggi secara genetik lebih cenderung untuk mempercayai satu atau lebih teori konspirasi.

Kerana itu, terdapat segelintir individu yang dilihat mempunyai 'pakej lengkap' di mana mereka cenderung mempercayai dakyah antivaksin, gemarkan teori konspirasi dan percayakan bumi ini datar.

Namun, bukan semua penggemar teori konspirasi turut mempercayai dakyah antivaksin dan begitu juga sebaliknya.

Adakah golongan ini bahaya kepada masyarakat? Secara kasar ia dilihat tidak memberi apa-apa kesan kepada negara kerana ia sekadar 'kepercayaan', namun harus diambil perhatian secara serius kerana ia mungkin memberi kesan kepada generasi baharu.

Bayangkan jika si bapa percaya bumi ini datar atau Covid-19 itu sekadar rekaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bagaimana si bapa akan mencorakkan anak-anaknya?

Jika si bapa tidak mempertikaikan apa yang anak pelajari di sekolah, mungkin tiada masalah berlaku. Tapi bagaimana pula jika si bapa cuba 'memperbetulkan' fakta yang diajar di sekolah? Bukankah ia akan membuatkan anak-anak keliru?

Terdapat kaki konspirasi yang ekstrem hingga sanggup membuat banyak akaun palsu di sosial media bagi menyebarkan kepercayaan mereka, hingga ke tahap menyalah guna ayat al-Quran dan hadis.

Sekiranya terdapat sebarang teori dibaca di media sosial, usahlah kita terus percaya tanpa selidik terlebih dahulu.

Perhatikan juga siapa yang menyampaikan maklumat itu. Jika ia hanya akaun palsu, ada kemungkinan maklumat yang dikongsi itu juga palsu dan tidak benar.

Jika ia daripada akaun yang diketahui pemiliknya, pastikan dahulu apa bidangnya. Jika dia seorang doktor perubatan, bolehkah kita percaya jika dia bercerita teori berkaitan enjin pesawat?

Namun, paling utama, adakah 'teori' itu ada diceritakan dalam al-Quran atau hadis. Jika ada rujuklah orang alim untuk tafsiran tepat berlandaskan ilmu, bukan buah fikiran teori konspirasi semata-mata.

Ini kerana ayat al-Quran dan hadis tidak boleh diterjemah secara harfiah. Individu alim dalam bidang al-Quran dan hadis juga mendalami ilmu bertahun-tahun sebelum yakin untuk menterjemah sesuatu ayat.

Rujuklah mereka yang ahli, usah perasan diri sendiri sudah cukup ilmu hanya bersandarkan video di Youtube atau ulasan di Facebook.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 7:00 AM