BELLA Astillah. FOTO Rohanis Shukri
BELLA Astillah. FOTO Rohanis Shukri
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi popular, Bella Astillah, 29, bersedia untuk melakonkan watak 'penyondol' dalam drama atau filem lakonannya selepas ini.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, dia mahu mencuba watak 'penyondol' itu kerana ia memang ada dalam realiti kehidupan.

"Kalau ada tawaran watak itu saya akan menerimanya sekarang. Saya okay saja untuk melakonkan watak itu sebab mahu tahu apa yang mereka (penyondol) rasa? Seronok ke?

"Bukankah hidup sebagai 'penyondol' menjadi tidak tenang dan berasa takut?," katanya.

Bella berkata, sebagai pelakon, dia juga terbuka untuk menerima apa saja watak termasuk watak jahat.

"Saya percaya setiap watak yang dijayakan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk menjadi lebih bagus dalam bidang lakonan.

"Saya berharap dapat peluang melakonkan watak jahat yang mampu mencabar lakonan sedia ada selepas ini," katanya.

Ditanya sama ada dia tidak takut dibenci penonton sekiranya melakonkan watak jahat atau 'penyondol' itu, Bella berkata, dia bersedia dengan maklum balas daripada penonton.

"Jika penonton berasa benci ia disebabkan lakonan saya melakonkan watak terbabit benar-benar menjadi. Bila bergelar pelakon kita akan cuba apa saja watak yang diberi. Dari situ kita akan melalui pengalaman. Kalau tak buat, sampai bila-bila kita tidak akan melalui proses terbabit," katanya.

Bagaimanapun, Bella sentiasa meminta nasihat dan pandangan suaminya yang juga pelakon, Aliff Aziz sebelum menerima sesuatu tawaran berlakon.

"Begitu juga dengan Aliff, kami sama-sama berkongsi. Aliff pun akan tanya pandangan saya kalau dapat tawaran. Jika sebelum ini kami buat keputusan sendiri," katanya.

Terdahulu, rumah tangga peserta program hiburan, Famili Duo itu sekali lagi diuji apabila Aliff terjebak dengan 'cinta lokasi' bersama pelakon jelita, Sophia AlBarakbah.

Mereka digandingkan bersama dalam drama rantaian, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Aliff juga pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita lain seperti Oktovia Manrose dan Afifah Nasir sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 3:21 PM