ALIFF dan Ruhainies tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap tuduhan yang dilemparkan Sarah.
ALIFF dan Ruhainies tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap tuduhan yang dilemparkan Sarah.

Kuala Lumpur : Aliff Aziz dan Ruhainies nampaknya terus 'membungkam' selepas pendedahan demi pendedahan yang dibuat wanita yang mendakwa kekasih gelap Aliff iaitu Sarah Yasmine sejak Isnin lalu.

Walaupun Sarah mendedahkan perbualan WhatsApp membabitkan mereka berdua di media sosial, namun Aliff dan Ruhainies sebaliknya kelihatan tenang menghadapi 'tekanan' yang melanda mereka.

Keberadaan Aliff ketika ini juga menimbulkan tanda tanya ramai sama ada jejaka kelahiran Singapura itu berada di negaranya atau di Malaysia ketika ini.

Jika sebelum ini kebanyakan perkara berbangkit dipertahankan oleh ibu Aliff iaitu Siti Hafiza Basharahil, namun tindakan ibunya yang sudah menyahaktif akaun Instagram miliknya mencetuskan lebih banyak tanda tanya.

Dalam situasi tegang seperti ini, Aliff dan Ruhainies sepatutnya tampil mempertahankan diri dan menangkis segala tuduhan terhadap mereka. Ia juga demi perkahwinan Aliff dan Bella Astillah yang ingin diselamatkan Aliff ketika membuat kenyataan di mahkamah tempoh hari.

Kisah hubungan empat penjuru itu cukup menarik perhatian ramai apabila menjadi topik trending di aplikasi X, semalam.

Sementara itu, cubaan Harian Metro mendapatkan Ruhainies mengenai pembongkaran hubungannya dengan Aliff menerusi perbualan WhatsApp antara mereka tidak berjaya apabila mesej yang dihantar tiada balasan.

Semalam, Sarah Yasmine sekali lagi mendedahkan beberapa perbualan romantis dan perancangan yang disusun Ruhainies bersama Aliff di WhatsApp.

Sarah berkata, tindakan pendedahan yang dilakukannya itu adalah sebagai balasan selepas berasa ditipu oleh Aliff dan Ruhainies.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 1:31 PM